25 February 2012

SBPA: Tunggulah 12 Mac, kata PM

MELAKA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan keputusan kerajaan berhubung isu skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) pada perhimpunan yang dianjurkan Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada 12 Mac depan.

"Tunggulah masa, kalau saya umum hari ini tak jadi (tidak seronok), tak ada 'surprise' (kejutan).
"Mungkin tunggulah bila kita ada majlis, Cuepacs setuju untuk mengatur satu perhimpunan besar-besaran di mana dalam perhimpunan itu nanti saya akan
menyampaikan keputusan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di bandar Melaka di sini, semalam.

Sementara itu, Najib berkata, mesyuarat yang diadakan dengan Cuepacs kelmarin berlangsung dalam suasana baik dan mereka bersikap positif dalam isu penyelesaian SBPA.

Kelmarin, Najib mengadakan pertemuan dengan Cuepacs selama 45 minit dengan sembilan pemimpin tertinggi CUEPACS yang turut disertai Ketua Setiausaha Negara
Tan Sri Mohd Sidek Hassan di Pejabat Perdana Menteri.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman pada pertemuan itu dilaporkan berkata pihaknya akan mengadakan perhimpunan besar-besaran yang mengumpul 15,000
penjawat awam di Bukit Jalil pada 12 Mac depan yang dijangka dihadiri Perdana Menteri.

Mengenai lawatan kerjanya ke Melaka, Najib berkata beliau berpuas hati dengan kerancakan pembangunan dan pembaharuan di negeri bersejarah itu.

"Pada saya, Melaka sedang menghadapi cabaran menguruskan kejayaan... dan inilah yang saya fikirkan cabaran masa datang bagaimana boleh menentukan tahap
kemudahan di Melaka dapat ditingkatkan supaya tidak membantut perkembangan kejayaan Melaka," katanya.

Beliau berkata pengusaha-pengusaha hotel juga menyatakan rasa puas hati dengan pelaburan mereka di Melaka.

Beliau juga berkata Barisan Nasional (BN) Melaka secara keseluruhan sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum apabila tiba masanya kelak. - Bernama

* Apa yang dibuat Umno selalu tidak kena dan tidak berjaya. Ia akan berbeza sekiranya berkhidmat untuk rakyat secara ikhlas...

No comments:

Post a Comment