05 February 2012

Reaksi majlis fatwa

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Hukum mendapatkan perkhidmatan sindiket 'haji ekspres' adalah haram di sisi agama kerana melibatkan pemberian rasuah serta merampas hak orang lain yang menunggu giliran untuk menunaikan ibadat tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, peserta haji dan mereka yang bersubahat dalam perbuatan itu menanggung dosa kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

"Perbuatan ini haram kerana ada pihak memberi dan menerima secara rasuah. Ia juga merampas hak dan peluang orang lain.

"Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana sistem haji di negara ini mengikut giliran siapa dulu mendaftar dan memohon," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Seperti dilaporkan akhbar ini, sindiket 'haji ekspres' menawarkan orang ramai peluang menunaikan rukun Islam yang kelima tersebut lebih awal daripada jadual dengan membayar 'suapan'.

Sindiket dikesan beroperasi sejak beberapa tahun lalu itu juga dilapor melibatkan beberapa pegawai Lembaga Tabung Haji (TH) dan beberapa bekas kakitangannya.

Abdul Shukor yang kesal dengan kewujudan sindiket itu menggesa TH supaya bertindak segera bagi memastikan perkara seperti itu tidak berulang.

"Bilangan peserta haji di negara kita bergantung kepada kuota yang ditentukan Arab Saudi, jadi kita perlu adil dalam soal ini.

"Jangan kerana seseorang itu mempunyai 'kelebihan' wang ringgit, dia dapat tunaikan haji tanpa perlu menunggu seperti orang lain,'' katanya.

Bagaimanapun, katanya, pertimbangan untuk mengubah tarikh mengerjakan haji harus dibenar dalam keadaan tertentu seperti bagi mereka sudah lanjut usia dan pasangan haji tidak mendapat giliran serentak.

"Misalnya, kita boleh pertimbangkan pasangan berusia lebih 70 tahun untuk pergi dahulu atau kepada suami isteri yang tidak dapat giliran pergi bersama,'' katanya. - Utusan

* Bagaimana pula kalau diberi duit untuk beli lembu tapi dia beli kondo...

No comments:

Post a Comment