KULIM - Taktik pasukan polis menaiki lori yang sarat muatan kambing sebagai penyamaran membuahkan hasil setelah berjaya menahan 20 penagih dan seorang pengedar dadah di ladang kelapa sawit di Kampung Permatang Durian, dalam satu operasi yang bermula jam 4 pagi semalam.Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kulim diketuai Inspektor Muhamad Amin Mat Yassin berkata, beliau bersama 13 anggota melakukan Operasi Tapis setelah membuat pemantauan sejak dua minggu lalu dan menahan seorang lelaki berusia 20-an di rumahnya sebelum membawa suspek masuk ke tempat penagihan dadah.
Menurutnya, kira-kira jam 8 pagi, seorang penagih dadah ditahan ketika cuba mencari pengedar dadah yang selalunya berada di sekitar tempat menghisap dadah.
“Bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, semua penagih yang masuk ke tempat menghisap dadah ditahan. Kebanyakan mereka ditahan menunggang motosikal.
“Kesemua suspek terlibat kemudiannya di bawa ke IPD Kulim untuk menjalani ujian air kencing dan kesemua mereka didapati positif opiat. 20 penagih ditahan berusia di antara 19 hingga 60 tahun dan mereka ditahan di Balai Polis Kulim serta akan dibawa ke mahkamah” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, sehingga kini beberapa tempat penagih menghisap dadah sudah diserbu antaranya di ladang kelapa sawit di Lunas dan kawasan lain.
“Polis mengenal pasti kawasan kelapa sawit dan premis persendirian yang dijadikan tempat melepaskan gian.
“Sehingga kini golongan belia merupakan antara penagih yang paling ramai terlibat,” katanya. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment