09 February 2012

Pengerusi Kita Kedah: Apa motif saya dipecat

SUNGAI PETANI - Zamil Ibrahim, Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah yang dipecat oleh parti itu hari ini mempertikaikan tindakan itu yang beliau dakwa sebagai tidak sah.

"Saya tidak mengiktiraf pemecatan ini sebab saya nak pertikaikan siapa Jawatankuasa Disiplin, di mana mesyuarat diadakan, bila masa saya dipanggil menghadap jawatankuasa disiplin dan atas dasar apa saya dipecat," katanya pada satu sidang media di Pejabat Kita Kedah di sini.

Zamil berkata demikian mengulas laporan media bahawa beliau dan Pengerusi Kita Pulau Pinang Tan Tee Beng dipecat berkuat kuasa serta-merta baru-baru ini kerana membuat kenyataan menjejaskan parti.

Beliau berkata tidak menerima sebarang surat hitam putih yang menyatakan dipecat daripada terus menerajui kepimpinan parti KITA.
Katanya, beliau sama sekali tidak menerima tindakan pemecatan ke atasnya daripada pimpinan pusat dan akan meneruskan perjuangan mempertahankan parti Kita.

Katanya, beliau dan Jawatankuasa Kita Kedah menolak sekeras-kerasnya tindakan pemecatannya kerana sejak 3 Februari lalu mereka sudah tidak lagi mengiktiraf Datuk Zaid Ibrahim sebagai presiden parti.

Katanya, beliau dan lima lagi pengerusi negeri mengadakan perbincangan di Putrajaya pada 3 Februari lalu untuk menolak kepimpinan Zaid selepas kenyataan Zaid untuk membubarkan parti dikeluarkan dalam blog parti pada 2 Februari lepas.

"Di sini apakah motif saya dipecat, adakah sebab saya nak mempertahankan parti saya dipersalahkan...Saya akan teruskan tugas seperti biasa dan akan terus berada di pejabat ini sebab ini pejabat saya. Walaupun saya akan diberi surat pemecatan saya tetap akan terus pertahankan parti," katanya.

Beliau juga mencabar Jawatankuasa Disiplin memecat Zaid terlebih dahulu kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggap tidak bertanggungjawab ke atas parti tanpa merujuk dengan anggota-anggota yang lain.

Zamil berkata, satu usul untuk menuntut agar Zaid mengundur diri daripada kepimpinan Kita akan dibuat dalam mesyuarat tahunan KITA Kedah pada 10 Februari ini.

Beliau mendakwa ada tujuh negeri yang menyokong supaya Zaid berundur iaitu Kedah, Sabah, Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang dan meminta pemimpin-pemimpin KITA yang lain supaya mengadakan Mesyuarat Agung
Luar Biasa (EGM) untuk mengusir Zaid daripada parti itu.

Katanya, beliau akan membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan berharap supaya ROS memandang serius terhadap parti Kita yang kelihatan seperti caca marba terutamanya di peringkat pusat. - Bernama

No comments:

Post a Comment