01 February 2012

Menteri: Jangan beri sedekah kepada pengemis

Masyarakat perlu dididik supaya tidak menghulurkan sumbangan kepada golongan pengemis, sebaliknya menyalurkan bantuan kepada pihak seperti rumah anak yatim, pertubuhan bukan kerajaan dan rumah ibadah berdaftar.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata langkah itu perlu dibuat dalam usaha membanteras kegiatan pengemis di bandar-bandar utama termasuk ibu negara yang menjadi tumpuan pelancong asing dari seluruh dunia.

"Jika kegiatan ini tidak dibendung dengan segera, dikhuatiri satu masa nanti, bandar raya Kuala Lumpur akan menjadi lokasi utama golongan pengemis dari merata negara untuk meraih simpati," katanya ketika melancarkan kempen membanteras pengemis "Henti Memberi, Kami Prihatin" di Kuala Lumpur, semalam.

Raja Nong Chik berkata aktiviti mengemis perlu dicegah kerana ia memberi gambaran negatif terhadap Malaysia di kalangan pelancong asing.

Memetik data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur, beliau berkata seramai 462 pengemis diselamatkan di ibu negara berbanding 373 pada 2010 dan 236 pada 2009.

Raja Nong Chik menarik perhatian bahawa tangggungjawab membanteras gejala mengemis perlu digalas oleh semua pihak dan bukan terletak di bahu JKM sahaja.

Kempen selama enam bulan itu digerakkan secara bersama oleh JKM Kuala Lumpur dan Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Parlimen Lembah Pantai.

Dalam pada itu, Raja Nong Chik berkata sistem jalan sehala di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, akan diperkenalkan semula mulai 6 Feb ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment