NGO mesra PKR, Jingga 13, hari ini membekalkan bukti menunjukkan kapal-kapal yang dimiliki sebuah syarikat yang didakwa dikuasai oleh kerajaan Israel mempunyai akses bebas ke Westport, Pelabuhan Klang.
Mendedahkan dokumen dari Jabatan Kastam, Wesport dan syarikat Zim Integrated Shipping Services Ltd, Jingga 13 berkata kapal, Zim Atlantic, yang berlabuh di Pelabuhan Klang pada 16 Februari lalu datang secara langsung dari pelabuhan Ashdod di Israel.
"Dagangan ini menyumbang kepada ekonomi Israel, dan kami percaya bahawa Malaysia telah menyumbang wang yang digunakan untuk membeli peluru yang membunuh rakyat Palestin," kata ketua penyelaras Jingga 13 Fariz Musa.
Menurutnya, saham Zim Integrated Shipping Services Ltd turut tersenarai dalam Bursa Tel Aviv.
Beliau turut mendedahkan beberapa dokumen termasuk kebenaran belayar atau ‘sailing clearance’ dan dokumen penerimaan ejen penghantaran yang disahkan Kastam Diraja Malaysia.
Fariz turut menayangkan rakaman video telefon pintar kehadiran dua kapal kargo, Zim USA dan Zim Atlantic di Pelabuhan Klang.
“Zim USA dan Zim Europa belayar terus dari Pelabuhan Ashdod, dipercayai kapal milik Zim turut belayar ke pelabuhan di Sabah dan Sarawak,” katanya.
“Persoalannya, kenapa ada hubungan dagang? Polisi tak jelas. Dasar kerajaan patutnya tidak mewujudkan sebarang hubungan diplomatik. Apakah ini satu pengiktirafan kepada kerajaan haram Israel?” katanya. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment