16 February 2012

Jangan terlalu sayangkan jawatan, kata Dr M

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil disaran supaya lebih menyayangi Umno dengan meletakkan jawatan daripada menyayangi jawatan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat yang disandang kerana masalah peribadinya boleh menjejaskan parti.

"(Beliau) mesti fikirkan kesan kepada parti. Jangan terlalu sayangkan jawatan terlalu banyak,” kata bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir kepada pemberita pada sidang media selepas ucapan sulungnya sebagai Canselor Universiti Perdana di Serdang hari ini.

Seorang pemimpin, kata Mahathir, perlu tahu apabila sudah tiba waktunya untuk berundur, sambil memberi contoh, dirinya sendiri yang rela berundur secara sukarela selepas 22 tahun berkuasa.

"Saya tak suruh dia meletak jawatan tetapi kita harus sentiasa fikir berkenaan masalah yang kita timbul kepada parti. Sebab itu, saya sendiri pun bila dah terlalu lama dan orang dah naik bosan, saya pun letak jawatan.

"Jadi, janganlah sayang jawatan sangat sampai tidak mahu langsung dipisahkan daripada jawatan. Satu hari kita kena pisah juga," sindirnya.

Terpulang

Mahathir mengulas komennya sebelum ini yang mahu Shahrizat, yang juga Ketua Wanita Umno, supaya berundur.

"Kalau kita fikir ini baik bagi parti, kita patut ambil tindakan tetapi ini terpulang kepada dia untuk membuat apa-apa keputusan," katanya.

Shahrizat terpalit dengan skandal yang melibatkan keluarganya dengan dakwaan penyelewengan pinjaman mudah RM250 juta yang diberi kerajaan kepada syarikat penternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) itu.

Jutaan ringgit wang NFC didakwa dibelanjakan oleh ahli keluarganya bagi pembelian kondominium mewah, tanah, kereta serta juga percutian.

Walau bagaimanapun, Shahrizat dan keluarganya menafikan sebarang salah laku.

Segala dakwaan itu kini dalam sisatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Suruhanjaya dan Unit Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman. - Malaysiakini

* Jika UmnoBN kalah nanti, orang akan kata "Shahrizatlah punca kekalahan kita"...

No comments:

Post a Comment