20 February 2012

Ikut kekasih jaga pusat judi

SUNGAI BULOH - Seorang pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara 17 yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam operasi bersepadu bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan polis di pusat siber judi di Bandar Baru Sungai Buloh, malam kelmarin.

Pelajar perempuan itu ditahan bersama teman lelaki yang juga penjaga sebuah pusat siber judi online di Bandar Baru Sungai Buloh, di sini. Ketika disoal, remaja itu mengakui sering mengikut teman lelakinya pada waktu cuti hujung minggu semata-mata untuk berseronok.

“Ibu dan bapa saya berada di Johor, saya tinggal dengan nenek di Rawang, bosan duduk di rumah jadi ikutlah dia (teman lelaki), boleh tolong-tolong dia jaga kedai,” katanya kepada Sinar Harian.

Dimaklumkan, tanpa pengetahuan neneknya, hampir setiap minggu, pelajar berkenaan mengikut teman lelakinya bekerja.

Sementara itu, remaja lelaki berusia 19 tahun itu pula memberi alasan bahawa dia baru sebulan bekerja di pusat siber dengan gaji RM1,000 sebulan.

“Saya tidak tahu ianya salah, jadi saya bekerjalah kerana perlu menyimpan wang untuk berkahwin,” katanya yang gagal memberikan kad pengenalan diri sewaktu diminta anggota penguat kuasa Jais.

Dalam serbuan itu, MBSA turut menyita 108 set komputer membabitkan empat premis di kawasan sama.

Turut ditahan, dua warga Myanmar yang merupakan penjaga premis kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Penolong Pegawai Penguat Kuasa MBSA, Zakaria Mat Piah berkata, tindakan diambil dibawah Undang-undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber MBSA (2007) peruntukan 3 iaitu menjalankan perniagaan pusat siber tanpa lesen.

Pengunjung beragama Islam dibawa ke pejabat Jais untuk siasatan dan tindakan lanjut. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment