10 February 2012

DAP: 'Hak' melabur NFC bercanggah PAC

Kenyataan pegawai kanan Kementerian Kewangan November lalu berhubung skandal syarikat projek ternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) bercanggah dengan dakwaan ketua pegawai eksekutif syarikat berkenaan bahawa beliau mempunyai hak untuk "melabur" wang daripada dana pinjaman mudah yang diberikan oleh kerajaan kata DAP.

"Saya benar-benar terkejut apabila membaca kenyataan ketua pegawai eksekutif NFC Wan Shahinur Izmir bahawa NFC 'mempunyai hak menggunakan dana RM250 juta dari kerajaan itu kerana ia difikirkan sesuai dan mereka membayarnya balik dengan faedah," kata setiausaha publisiti DAP kebangsaan, Tony Pua.

Pua, dalam satu kenyataan hari ini, memetik mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) yang menyatakan bahawa pinjaman berkenaan hanya boleh digunakan khusus untuk tujuan yang ditetapkan.

"Pada mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Awam, berhubung skandal NFC pada 23 November, 2011, pegawai kanan Kementerian Kewangan (MOF) amat khusus dalam mengatakan bahawa pinjaman itu tidak boleh digunakan untuk tujuan lain, selain dari yang dinyatakan. Juga yang pasti adalah tiada peruntukan pinjaman boleh digunakan bagi 'pelaburan' hartanah.

"Pegawai kanan Kementerian Kewangan itu juga menjelaskan bahawa tujuan bagi setiap pengeluaran wang hendaklah dinyatakan dengan jelas.

"Apabila disoal lanjut, pegawai berkenaan juga mengesahkan bahawa Kementerian Kewangan yang menyediakan kemudahan pinjaman mudah RM250 juta itu tidak pernah menerima permohonan untuk membeli sebarang hartanah," kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.

"Oleh itu jika pegawai kanan Kementerian Kewangan berkenaan bercakap benar ketika memberi keterangan kepada PAC, maka Wan Shahinur Izmir (kiri) mestilah berbohong bagi menegakkan benang yang basah.”

Semalam Wan Shahinur berulangkali mempertahankan syarikatnya yang menggunakan dana kerajaan membeli hartanah yang tidak berkaitan dengan projek penternakan lembu. Dakwanya, tindakan itu satu "pelaburan" dan berkata, perjanjian pinjaman tidak melarang pelaburan hartanah. - Malaysiakini

* Kalau urus duit itu sebaiknya. Ramai yang mandapat manfaat dan keuntungan kepada negara. Tak mengapalah...

No comments:

Post a Comment