17 February 2012

Bom warga Iran di Bangkok sasar Israel

BANGKOK - Sekumpulan rakyat Iran yang ditahan berikutan tiga letupan bom di ibu negara Thailand pada Selasa lalu menyasarkan diplomat-diplomat Israel, bukannya rakyat negara jiran Malaysia itu.

Menurut polis Thailand, tiada butiran terperinci individu-individu yang hendak disasarkan, tetapi perancangan kumpulan itu sudah mencapai peringkat akhir.

Thailand mengaitkan kejadian di Bangkok dengan cubaan letupan bom di Georgia dan India, Isnin lalu.

Sebelum ini, Israel menuduh Tehran sebagai negara di belakang ketiga-tiga kejadian itu.

Bagaimanapun Iran menafikan dengan keras dakwaan itu.

Laporan BBC menyebut dua lelaki sedang ditahan di Bangkok manakala lelaki ketiga pula berada dalam tahanan pihak berkuasa Malaysia.

Laporan Bernama semalam menyebut pihak berkuasa Thailand mahu Malaysia menyerahkan warganegara Iran yang ditahan di Sepang kepada mereka.

"Sasaran mereka ialah orang perseorangan, diplomat-diplomat Israel, bukan rakyat Thailand," kata ketua polis kebangsaan Thailand, Jeneral Priewpan Damapong.

Kata beliau, pihak berkuasa Thailand sudah hampir pasti bahawa sasaran kumpulan itu ialah diplomat-diplomat Israel.

"Isu ini berkenaan dengan orang perseorangan dan sasaran (mereka) sangat khusus. Sesuatu yang bersifat peribadi," katanya.

Katanya, suspek dijangka akan dikenakan tuduhan memiliki bahan letipan dan cuba untuk membunuh.

Berdasarkan maklumat yang diberikan pihak berkuasa Thailand, suspek dikenali sebagai Saeid Moradi, 28, Mohammad Khazaei, 42, dan Leila Rohani.

Leila dilaporkan sudah pun kembali ke Iran.

Saeid telah kehilangan kedua-dua kaki ketika bahan yang dibawanya meletup secara tiba-tiba.

Mohammad ditahan di lapangan terbang antarabangsa Thailand ketika hendak keluar dari negara itu.

Suspek keempat dinamakan sebagai Masoud Sedaghatzadeh, 31, yang ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia di lapangan terbang tambang murah di Sepang. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment