BATU PAHAT – Seorang lelaki yang kecewa terhadap kecurangan isterinya mengambil keputusan membalas dendam dengan memadu asmara bersama perempuan lain di sebuah rumah kedai usang di sini.
Bagaimanapun nasib lelaki itu yang merupakan warga Indonesia malang apabila perbuatannya berjaya dihidu penduduk kampung lalu dicekup oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Daerah Batu Pahat kira-kira jam 1 pagi semalam.
Timbalan Penguatkuasanya, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, pasangan terbabit sanggup menjadikan sebuah rumah kedai yang telah terbiar dan berbau busuk di Sri Gading untuk memuaskan nafsu mereka.
“Ketika diserbu, rumah kedai berkenaan berada dalam keadaan gelap sebelum beberapa anggota penguat kuasa bertindak mengepungnya.
“Tiba-tiba seorang lelaki meluru keluar menerusi pintu belakang. Bagaimanapun tindakan nekadnya gagal kerana diberkas anggota yang berkawal di pintu belakang rumah kedai itu,” katanya.
Saiful Ariffin berkata, pemeriksaan penguatkuasanya kemudian mendapati ada tangga yang menghubungkan ruang unit bilik atas rumah kedai itu sebelum menemui pasangan lelaki terbabit bersembunyi sebalik pintu.
“Pasangan berusia 42 dan 45 tahun masing-masing berasal dari Jawa Timur, Indonesia dan lelaki terbabit sudah tiga tahun menetap selain bekerja sebagai buruh binaan di sini.
“Difahamkan lelaki terbabit mengakui mempunyai isteri di negara asalnya malah memiliki seorang anak berusia 14 tahun. Bagaimanapun selepas mengetahui kecurangan isterinya, dia bertindak 'membalas dendam' dengan mengadakan hubungan dengan perempuan lain,” katanya.
Menurut Saiful Ariffin, berdasarkan siasatan, kedua-duanya gagal membuktikan mereka pasangan suami isteri yang sah.
Pasangan berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi proses dokumentasi sebelum ditahan bagi siasatan lanjut.
“Mereka kini disiasat mengikut Seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan jika disabitkan kesalahan, bakal berdepan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment