27 January 2012

Tonto serang penguat kuasa

DUYONG – Sekumpulan samseng bertindak kurang ajar apabila menyerang anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang sedang melakukan operasi di sebuah kafe siber dekat Taman Seri Duyung, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.45 malam itu, kumpulan seramai hampir 30 orang itu dipercayai tonto dan rakan kepada pengusaha siber kafe yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian berkomputer tanpa lesen sejak empat hari lalu.

Akibat serangan itu, empat anggota penguat kuasa cedera dibelasah termasuk seorang daripadanya parah akibat ditikam di lengan.

Mangsa yang parah dikenali sebagai Azizan Abbas, 26, yang mengalami luka sepanjang kira-kira 12.7 sentimeter di lengan kanannya selepas ditikam menggunakan pisau Rambo oleh seorang suspek.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka, di sini dan kini dirawat manakala, empat lagi anggota penguat kuasa yang cedera mendapat rawatan pesakit luar.

Akibat serangan itu juga, anggota penguat kuasa terpaksa mengeluarkan kembali sejumlah komputer yang disita dan diletakkan di dalam van penguat kuasa untuk mengelak tindakan lebih ganas.

Difahamkan, sebuah van MBMB yang digunakan dalam operasi berkenaan turut dipecah suspek.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, semasa kejadian, pergelutan berlaku selepas kesemua penguat kuasa terbabit selesai menyita komputer dan membawa keluar dari premis berkenaan.

"Polis sudah mengenal pasti kumpulan yang terbabit dalam kejadian itu dan siasatan serta tindakan lanjut akan diambil," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri, di Bukit Beruang, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, Kes terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyerang menggunakan senjata.

“Polis nasihatkan supaya mana-mana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ingin menjalankan operasi supaya mendapatkan kerjasama serta bantuan polis untuk keselamatan mereka,” katanya. - Sinar Harian

* Tonto ini seolah-olah menganggap polis Malaysia lemah...

No comments:

Post a Comment