23 January 2012

Tebusan: Bapa, pakar HKL sedang pujuk lelaki bebaskan mangsa

KUALA LUMPUR - Seorang bapa dengan bantuan pakar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) sedang memujuk seorang lelaki bogel agar membebaskan anak perempuannya yang dijadikan tebusan sejak jam 10.30 pagi tadi, di rumahnya di Kampung Baru di sini, hari ini.

Wartawan Sinar Harian yang berada di lokasi kejadian melaporkan, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu dijadikan tebusan oleh lelaki berkenaan yang menyerbu masuk ke rumahnya ketika dia bersama sekeluarganya sedang menonton televisyen.

Pasukan keselamatan mendapatkan bantuan beberapa pakar dari HKL untuk memujuk lelaki berkenaan.

Menurut anggota keluarga, mangsa anak sulung dilarikan suspek dan kini berada dalam salah sebuah bilik di rumah mereka. Rumah itu mempunyai tiga bilik.

Lain-lain anggota keluarga mangsa kini berada di luar rumah mereka yang terletak di Jalan Raja Muda Musa 6.

Menurut bapa mangsa, Syafrudin, 47, yang juga seorang OKU, ketika kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, dia berada di dalam bilik dan lima ahli keluarga lain berada diruang tamu.

Katanya, dia terkejut apabila suspek tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan menarik salah seorang anaknya.

"Ahli keluarga lain iaitu isteri, seorang lagi anak dan anak buah saya sempat berlari keluar.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana keadaan saya dan suspek ketika itu sudah mengacukan pisau di leher anak saya serta mengugut akan mencederakan anak saya jika kami dekat," katanya.

Dia bagaimanapun dibawa keluar oleh anggota polis dan suspek ketika itu sudah membawa mangsa ke dalam bilik. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment