31 January 2012

SBPA: Cuepacs ulangi amaran 'pulau' jika...

KUALA LUMPUR - Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan membuat permohonan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan berhubung tiga lagi pemimpin kanan kesatuan itu untuk menganggotai pasukan petugas khas semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata Cuepacs akan mengemukakan surat kepada Mohd Sidek esok berhubung perkara itu bagi mempertimbangkan permohonan tersebut.

"Awal dulu lagi, kita sudah maklumkan bahawa kita hendakkan tiga lagi tambahan pegawai Cuepacs dalam pasukan petugas itu.

"Mungkin kalau nak permohonan, kita akan hantar surat esok, untuk menambah tiga orang lagi anggota Cuepacas sebelum 8 Feb (mesyuarat kedua pasukan petugas khas)," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pengerusi pasukan petugas itu Tan Sri Ismail Adam semalam bahawa pasukan itu tidak mempunyai kuasa untuk melantik atau memilih tiga lagi pemimpin kanan Cuepacs bagi menganggotai pasukan berkenaan.

Dipetik Bernama, kata beliau, sebaliknya hanya Mohd Sidek mempunyai kuasa untuk menentukan perkara itu.

Tiga pemimpin kanan Cuepacs yang dicadangkan untuk menganggotai pasukan itu ialah Timbalan Presiden 1 Azih Muda, Setiausaha Agung Lok Yim Pheng dan Setiausaha Kewangan Jaafar Mansor.

Pasukan petugas khas itu kini dianggotai pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Presiden Cuepacs serta pegawai kementerian berkaitan.

Cuepacs sebelum ini, menegaskan bahawa pihaknya tetap dengan pendirian tidak menyertai pasukan petugas khas itu, sekiranya tiga lagi pemimpin kanannya tidak dibenarkan menganggotai pasukan tersebut.

Bagaimanapun, Omar berkata jika masih tiada surat jemputan diterima, beliau tetap akan menghadiri mesyuarat kedua yang dijadual pada 8 Februari, tetapi akan mengisytiharkan secara rasmi untuk menarik diri.

"Ini bukan keputusan Omar Osman tetapi menghormati keputusan kongres dan anggotanya. Cuepacs hari ini adalah harapan 1.3 juta penjawat awam di seluruh negara," katanya. - Sinar Harian

* Belum bincang sudah gaduh tapi kata akan puas hatikan semua pihak. Sudah-sudahlah dengan Umno...

No comments:

Post a Comment