23 January 2012

PKR: Ibrahim Ali cuba mengugut Ketua Audit

KUALA LUMPUR, 23 Jan — Pemimpin PKR menyelar kenyataan Datuk Ibrahim Ali yang mendesak Ketua Audit Negara membuat kenyataan rasmi bahawa tidak berlakunya kecelaruan dalam Fidlot Nasional Corporation (NFCorp), dan mereka melihatnya sebagai satu intimidasi terhadap Ketua Audit berkenaan.

"Kenyataan itu dilihat sebagai cubaan meletakkan tekanan politik ke atas Ketua Audit Negara," jelas pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli kepada The Malaysian Insider terhadap perkara tersebut yang merupakan isu utama dalam kempen bagi pilihan raya akan datang.

"Ibrahim Ali tidak mempunyai kaitan dengan pengurusan akaun, jadi dia tidak layak untuk mempersoalkan laporan audit."

Ibrahim yang merupakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa semalam mendesak Ketua Audit Negara mengeluarkan kenyataan rasmi mengesahkan isu kontroversi skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) tidak berada dalam keadaan bercelaru.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian selepas perjumpaan dengan Pengerusi NFCorp, Datuk Mohamad Salleh Ismail yang menjelaskan pejabat ketua audit telah mengesahkan tidak berlaku sebarang kecelaruan dalam syarikat tersebut.

Tambah Ibrahim, pejabat ketua audit mungkin telah melakukan sedikit kesilapan kerana tidak kesemua kakitangan pejabat terbabit mendapat latihan secukupnya.

Rafizi turut mengkritik Ibrahim kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman apabila menyatakan pemberi maklumat tersebut sebagai "bukan Melayu", dan menurut Rafizi, tindakan tersebut sebagai cubaan yang "rendah dan berbahaya" bagi memuaskan masyarakat Melayu.

"Ini adalah kes penyalahgunaan wang. Ia dilakukan oleh bukan sahaja bukan Melayu, malah Melayu sendiri, serupa sahaja, contohnya seperti kes Perwaja Eric Chia dan PKFZ (Port Klang Free Zone), yang mana PKR turut mengambil tindakan, tambahnya.

NFCorp seharusnya telus perbelanjaan dana kerajaan sekiranya mereka serius mahu membersihkan nama mereka, bukan bertindak berjumpa NGO seperti Perkasa, tambah Rafizi.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin turut mempersoalkan tindakan NFCorp berjumpa Perkasa, dan beliau melihatnya sebagai pergerakan Umno untuk mendapatkan sokongan bagi mempertahankan Salleh.

"Kenapa NFC berjumpa kumpulan kartun ini? Ini tindakan merepak. Semua itu adalah alasan lapuk," tambahnya.

Zuraida da Rafizi turut menafikan dakwaan PKR telah membuat pembayaran bagi mendapatkan buku tunai yang diserahkan oleh pemberi maklumat tersebut-seperti dakwaan Ibrahim-buku tersebut diserahkan kepada parti berkenaan selepas Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan.

Skandal NFC telah menjadi topik hangat tahun lepas apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyatakan terdapatnya "kecelaruan" terhadap projek ternakan lembu yang diuruskan keluarga Shahrizat itu.

Semenjak itu, beberapa siri pendedahan telah dibuat PKR, termasuk pembelian dua unit kondominium mewah di Bangsar, Kuala Lumpur, dan pertuduhan menggunakan dana berkenaan untuk kegunaan peribadi keluarganya.

Pembangkang turut mendakwa keluarga Shahrizat menggunakan hampir RM600,000 daripada dana NFC untuk membayar hutang kad kredit mereka pada 2009.

Namun demikian, pentadbiran NFC menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan perbelanjaan kad kredit tersebut digunakan hanya untuk tujuan perniagaan.

NFC turut menafikan dakwaan dan tuduhan dana RM250 juta itu dimasukkan ke dalam akaun mereka sebelum perjanjian pinjaman berkenaan ditandatangani.

Shahrizat telah memohon cuti selama tiga minggu kepada perdana menteri selepas pendedahan bukti terbaru rasuah dalam projek NFC.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lepas mengumumkan kerajaan akan melantik firma audit untuk menyemak dan mengaudit akaun NFC. - TMI

* Melalak dia memang jaguh. Kira dia tahu ke?

No comments:

Post a Comment