25 January 2012

NFCorp Ucap Terima Kasih Kepada NGO

KUALA LUMPUR: National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) melahirkan rasa terima kasih kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang hadir pada sesi dialog untuk menjelaskan situasi yang melanda perbadanan itu, Ahad lalu.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh telah memberi penjelasan mengenai dakwaan penyelewengan dana kerajaan oleh perbadanan itu dalam pertemuan selama dua jam setengah pada pukul 9.30 pagi di Hotel Putra di sini.

Antara NGO yang hadir ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Majlis Usahawan Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Perundingan, Persatuan Pemikir Profesional Malaysia dan Persatuan Anak-Anak Kelantan.

Mohamad Salleh menjelaskan NFCorp merupakan syarikat persendirian manakala Pusat Fidlot Nasional (NFC) adalah syarikat kepunyaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif NFCorp, Wan Shahinur Izmir Salleh berkata, beberapa laporan polis telah dibuat dan kenyataan turut diberikan berserta buku-buku dan dokumen syarikat untuk siasatan lanjut.

"NFCorp memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dan menunggu hasil siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, perkataan kecelaruan telah menimbulkan kekeliruan orang ramai terhadap syarikat itu.

"Ketua Audit dalam laporan audit 2010 tidak menyifatkan NFCorp sebagai dalam kecelaruan. Kritikan mengenai projek itu dalam kecelaruan adalah tidak tepat," tegasnya.

Izmir turut berkata, laporan Ketua Audit boleh diperolehi secara percuma dari laman web Jabatan Audit Negara di http://www.audit.gov.my/.

Beliau menggesa orang ramai supaya meneliti laporan itu untuk memahami kekeliruan tersebut.

NFCorp juga mengalu-alukan usaha kerajaan untuk melantik firma perunding untuk mengendalikan proses pengauditan terhadap projek ternakan lembu yang sebelum ini diuruskan oleh NFC.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober tahun lalu menunjukkan bahawa projek itu tidak memenuhi sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Ia melaporkan bahawa projek RM74 juta NFC di Negeri Sembilan tidak diuruskan dengan baik dan menghasilkan 3,289 ekor lembu yang merupakan hanya 41.4 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan. - Mstar

No comments:

Post a Comment