26 January 2012

Mahkamah bebas Anwar suntik PKR momentum baru

PETALING JAYA – Keputusan Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat awal bulan ini telah membentuk momentum baru dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) meneruskan perjuangan parti itu.

Timbalan Presidennya Azmin Ali berkata, perkembangan itu memberi satu inspirasi dan kekuatan baru kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan kerana kemenangan terbaru ini diasaskan oleh kesabaran serta keyakinan bahawa Anwar tidak bersalah.

“Saya bersyukur Anwar bebas dari fitnah yang jahat lebih satu dekad yang dilancarkan oleh Umno dan yakin pembebasan ini adalah hasil dari tekad rakyat yang memohon pertolongan dari ALLAH s.w.t.

“Pembebasan ini juga berkat doa dan solat hajat yang dijalankan secara berterusan bersama-sama rakyat sehingga keputusan memihak kepada Anwar pada 9 Januari lalu,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada barisan peguam yang telah melaksanakan tugas bukan seperti peguam biasa, tetapi bekerja kuat dan gigih untuk mempertahankan seterusnya membersihkan nama Anwar.

Mengulas isu sama, Azmin berkata, walapun sudah bebas, tetapi Anwar berpendapat rakyat masih belum bebas.

Sehubungan itu, Anwar berikrar bersama pimpinan PKR untuk bekerja lebih kuat untuk membebaskan rakyat.

“Agenda utama PKR bersama rakan Pakatan Rakyat (PR) untuk membebaskan rakyat dari terus dibelenggu oleh Umno dan Barisana Nasional (BN). Perjuangan ini adalah demi untuk menaikkan martabat rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Ketika diminta mengulas kenyataan beliau bahawa Umno merupakan dalang yang memfitnah Anwar dalam kes liwat ini, Azmin berkata, beliau mempunyai asas yang kukuh untuk berkata demikian.

“Antara cabaran utama PR untuk ajak rakyat Malaysia keseluruhannya untuk menghentikan ‘politik durjana’ yang digunakan oleh Umno untuk mempengaruhi rakyat.

“Malahan, Umno turut menggunakan pengaruh mereka ke atas media-media yang dikuasai oleh parti-parti komponen BN untuk lancarkan politik fitnah ini secara besar-besaran sehingga besar-besaran,” katanya.

Azmin berkata, kesan pengaruh Umno dapat dilihat dengan lebih nyata terutamanya ke atas akhbar-akhbar utama yang dikuasai parti itu tidak lagi dimuatkan dengan berita yang mempunyai nilai, sebaliknya sarat dengan fitnah, maki hamun dan cerca.

Sehubungan itu, beliau berkata, PKR telah mengemukakan permohonan dalam mahkamah untuk memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke mahkamah.

“Kalau Najib boleh gunakan pentas-pentas sama ada dalam atau luar negara untuk membuat tuduhan-tuduhan ini, secara langsung atau tidak langsung kenapa beliau tidak berani tampil di mahkamah untuk beri keterangan bahawa Umno dan pimpinan Umno tidak terlibat?

“Keterangan dalam mahkamah telah membuktikan individu yang mendakwa berlakunya tuduhan ini telah bertemu sendiri perdana menteri dan isterinya. Kita merasakan perlu untuk mereka tampil ke mahkamah tetapi perkara ini tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata, perkara yang sama turut berlaku ketika kali pertama Anwar dituduh, di mana Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan Perdana Menteri telah memberikan pelbagai alasan sebaliknya beliau menggunakan kuasa eksekutifnya ditangannya untuk menghalang mahkamah dari memanggil beliau sebagai saksi.

Katanya, tindakan itu sebenarnya telah menimbulkan kecurigaan dan tanda tanya di kalangan masyarakat mengapa perkara ini boleh berlaku sehingga mereka takut untuk tampil untuk menjelaskan bahawa mereka tidak terlibat dalam fitnah ini. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment