10 January 2012

Dua lelaki cuba samun mati ditembak polis

KUALA LUMPUR - Dua lelaki yang sebelum itu cuba menyamun seorang wanita di hadapan sebuah bank di Wangsa Maju di sini hari ini, ditemui mati di dalam sebuah kereta dipercayai akibat terkena tembakan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek sebelum itu berbalas tembak dengan polis dan berjaya meloloskan diri dengan kereta tersebut.

Polis juga percaya ada suspek ketiga yang melarikan diri dari kereta itu yang terbabas dan melanggar sebuah kereta lain di Jalan Madrasah, berhampiran Stesen LRT Putra Taman Melati, tidak jauh dari lokasi berbalas tembak dengan polis, katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas kejadian 2.50 petang itu, Chin Wah berkata, polis yang menerima laporan cubaan samun menghantar kereta peronda ke kawasan terbabit dan berjaya mengesan sebuah kereta jenis Proton Putra yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Polis kemudian mengejar kereta tersebut yang memecut laju sebelum berlaku kejadian berbalas tembak, namun kereta yang dinaiki suspek berjaya lolos daripada pandangan polis. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment