NILAI – Seorang pemilik stesen minyak mengalami keadaan cemas apabila keretanya dirempuh kenderaan penyamun bersenjata yang melarikan RM200,000 di Kilometer 287, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, berhampiran Bukit Mahkota, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa, yang memandu kereta jenis BMW dari Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite), dalam perjalanan ke Bangi, apabila disamun di tepi lebuh raya berkenaan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusoff Awang berkata, mangsa sedang membawa wang hasil perniagaannya itu mahu ke sebuah bank di Bandar Baru Bangi.
“Mangsa yang memandu sendirian dilanggar oleh sebuah kereta jenis Lexus berwarna putih, dinaiki dua lelaki di kawasan Rehat dan Rawat Nilai.
“Mangsa, bagaimanapun, tidak memberhentikan kereta, sebaliknya meneruskan perjalanan.
“Sejurus tiba di Bukit Mahkota, sekali lagi kereta mangsa dilanggar oleh kereta yang sama dan kali ini mangsa memberhentikan kenderaannya,” katanya, semalam.
Menurutnya, mangsa yang berusia awal 40-an, terus keluar dari kenderaan dan melarikan diri selepas melihat kedua-dua orang itu yang bertopeng, menuju ke arah kenderaannya dengan seorang daripada mereka membawa sebilah parang.
“Mereka terus mengambil wang yang dari dalam but kereta.
“Kemudian, sebuah kereta Honda Accord yang dinaiki dua lelaki bertopeng tiba dan membawa kedua penyamun bersama wang tersebut dan meninggalkan kereta Lexus di situ,” katanya.
Yusoff berkata, semua penyamun itu dipercayai dalam lingkungan 30-an.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa menyedari diekori lebih daripada dua kenderaan dalam kejadian itu,” katanya. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment