28 January 2012

21 ponteng solat, lepaskan gian di ladang

POKOK SENA - Tindakan 21 lelaki sanggup ponteng solat Jumaat semata-mata melepaskan gian di ladang kelapa sawit mengundang padah apabila kumpulan penagih dadah berkenaan berjaya diberkas polis.

Dalam operasi selama lapan jam bermula pukul 6.30 pagi itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar yang diketuai Asisten Superintendan Muhammad Safuan Abdul Rashid menahan semua suspek berusia 20 hingga 50 tahun.

Kumpulan penagih dipercayai penduduk setempat dan kawasan sekitar itu dipercayai sanggup ponteng solat Jumaat untuk melakukan aktiviti berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Adzaman Mohd Jan berkata, suspek yang bekerja kampung itu disyaki menagih heroin dan mendapat bekalan dari kawasan berdekatan.

“Kita percaya ladang kelapa sawit di Kampung Pokok Pauh ini dijadikan sarang kegiatan itu sejak sebulan lalu dan serbuan dibuat hasil maklumat awam serta risikan selama dua minggu.

“Selain itu kita turut merampas 18 buah motosikal dan pemeriksaan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti status kenderaan itu sama ada curi atau sebaliknya,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Difahamkan kumpulan berkenaan menjalankan aktiviti penagihan di bawah pokok kelapa sawit dan sehelai tikar getah turut diletakkan di bawah pokok kelapa sawit sebagai tempat mereka berehat.

Menurut Adzaman, serbuan itu bagi mengelakkan penularan aktiviti penagihan dadah di kawasan tersebut selain untuk mengurangkan kegiatan curi motosikal serta getah sekerap di kawasan ini.

“Siasatan awal mendapati separuh daripada kumpulan lelaki terbabit merupakan penagih berulang yang melebihi tiga kali. Siasatan dijalankan bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Din Jusoh, 65, berkata, kumpulan penagih terbabit sering berpindah lokasi bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa.

“Sekiranya ada pekerja di ladang masuk ke tempat ini mereka akan berpindah ke tempat lain,” katanya.

Penduduk, Mohd Khairul Zulkifli, 18, berkata, kelompok penagih itu masuk ke ladang secara berperingkat bermula sebelah pagi dan berkumpul sehingga 7 petang.

“Mujur golongan muda kampung ini tidak terlibat kerana mereka lebih gemar dengan aktiviti bermain bola sepak,” katanya.

Sinar Harian pada 22 Januari lalu melaporkan, polis menahan seramai 33 penagih termasuk pengedar dadah yang sedang melepas gian di bangsal kayu berhampiran ladang kelapa sawit di Kampung Menerung, Mukim Derang, Pokok Sena.

Polis kemudian berjaya menumpaskan modus operandi sama yang menjadikan ladang kelapa sawit di Kampung Pokok Pauh di sini pula sebagai sarang penagih iaitu kira-kira 20 kilometer dari Kampung Menerong. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment