12 December 2011

Saifuddin kecewa birokrasi, UM tak beri kebenaran anjur debat AUKU

KUALA LUMPUR, 11 Dis — Datuk Saifuddin Abdullah duka cita kerana Universiti Malaya (UM) tidak memberi kelulusan mengadakan debat berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kelmarin, yang berakhir dengan kekecohan ketika pengurusan didakwa cuba menghentikan program itu.

Sambil menjelaskan siasatan menunjukkan debat itu sebenarnya tidak dibatalkan, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, program tersebut telah cuba dihalang oleh pentadbir UM daripada diteruskan dan perundingan diadakan membabitkan mahasiswa dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP).

“Sebaik perundingan selesai, debat juga selesai. Bermakna, debat tidak batal.

“Tapi saya dukacita dengan apa yang berlaku iaitu kelulusan tak diberi,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin (gambar) yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, sebenarnya mahasiswa ada memohon kebenaran Fakulti Undang-undang bagi menganjurkan forum berkenaan.

“Saya telah menghubungi kedua-dua pihak iaitu penganjur dan (Timbalan Naib Canselor) TNC HEP,” katanya.

“Tapi ada kurang komunikasi antara fakulti dan HEP. Bagi saya ini kerenah birokrasi yang tak patut berlaku,” kata Saifuddin sambil menambah, “saya junjung peraturan, tapi pentadbir perlu guna budi bicara.”

“Patut memudahkan, bukan mengecewakan. Saya harap kerenah birokrasi begini ditamatkan,” katanya lagi.

Semalam, TNC HEP UM Datuk Rohana Yusuf memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya terpaksa campur tangan dengan meminta debat di Fakulti Undang-undang universiti berkenaan dihentikan kerana ia diadakan tanpa kebenaran.

Rohana berkata, pihaknya tidak bermaksud mahu menyekat kegiatan pelajar, tetapi seharusnya program berkenan diadakan menggunakan saluran yang betul.

“Mereka langsung tidak membuat permohonan untuk menganjurkan debat malam tadi, dekan Fakulti Undang-undang sendiri tidak tahu ada penganjuran program tersebut sedangkan ia dijalankan di dewan fakulti itu,” jelasnya.

“Universiti tidak halang pelajar nak buat aktiviti, tetapi gunakan saluran yang betul, HEP hanya menjalankan tugas sahaja,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, penganjur seharusnya peka terhadap peraturan kampus, lebih-lebih lagi program debat turut melibatkan penyertaan orang luar, bukannya pelajar UM sahaja.

“Pihak keselamatan sendiri tidak diberitahu tentang penganjuran debat berkenaan sedangkan ia melibatkan orang luar UM,” tegasnya.

Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) melahirkan kekecewaannya terhadap pentadbiran UM kerana program itu terpaksa dibatalkan ketika sedang berlangsung.

Setiausaha Agungnya Khairul Naim berasa terkilan dan kecewa apabila program debat yang sebenarnya bersifat akademik dan mendidik ini diganggu oleh pengawal keselamatan dan “special branch” ketika debat antara Ahmad Shukri Che’ Ab. Razab yang merupakan bekas aktivis Pro-Mahasiswa dan Syamsul Salleh iaitu bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia sedang rancak berjalan pada pusingan kedua.

Menurut Khairul, beberapa pengawal keselamatan dan “special branch” telah menjerit meminta penganjur program keluar dewan dan meminta supaya aktiviti berkenaan dihentikan dengan segera. - TMI

No comments:

Post a Comment