25 December 2011

Menyorok sebelum samun RM380,000

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Sekumpulan penjenayah sanggup menyorok dalam pasar raya Mydin sejak tengah malam tadi untuk menyamun wang hasil jualan berjumlah RM380,000 di dalam premis itu di Jalan Masjid India di sini.

Mereka yang dipercayai lebih daripada seorang, menyorok dalam bangunan pasar raya ketika pengawal keselamatan menutup premis itu pada pukul 12.30 tengah malam.

Selepas pasar raya itu ditutup, suspek dikatakan mula bertindak menggerudi dinding pintu sebuah bilik di tingkat tiga bangunan itu yang menyimpan wang tunai hasil perniagaan.

Dengan menggunakan beberapa peralatan yang sudah dirancang, penjenayah kemudian membuka peti simpanan yang disimpan dalam bilik itu dan melarikan kesemua wang tunai berjumlah RM380,000 serta meninggalkan wang syiling sahaja di dalam peti itu.

Bilik berkenaan tidak mempunyai sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan tanpa kawalan pengawal dilihat satu peluang bagi suspek melakukan jenayah itu serta dipercayai melarikan diri melalui bumbung di tingkat lima pasar raya berkenaan.

Difahamkan, kumpulan penjenayah itu menggunakan sarung tangan kerana tiada kesan cap jari ditemui ketika melakukan jenayah serta meninggalkan pemutar skru dan gerudi di lokasi kejadian.

Hasil siasatan awal, beberapa suspek sudah dikenal pasti dan pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi Mingguan Malaysia mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk.

Beliau tidak menolak kemungkinan, suspek yang terlibat dalam kejadian itu mahir selok-belok bangunan pasar raya tersebut. - Utusan

No comments:

Post a Comment