29 December 2011

Graduan Indonesia digantung

ALOR SETAR 28 Dis. - Seorang graduan dalam jurusan perbankan dari Jakarta, Indonesia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 841.63 gram dadah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu ke atas Maggie Taissya Olivia, 27, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

‘‘Mahkamah tiada pilihan melainkan menjatuhkan hukuman mati kepada tertuduh memandangkan keterangan pihak pembelaan tidak dapat menyangkal anggapan bahawa kamu membawa dadah di dalam beg yang dibawa.

‘‘Malahan tertuduh sendiri mengetahui ada dadah di dalam begnya,’’ kata Mohd. Zaki.

Wanita itu yang sebelum ini merupakan seorang pegawai pemasaran di sebuah syarikat di Jakarta didakwa mengedar 656.15 gram heroin dan 185.48 gram monoacetylmorphines pada 20 September tahun lalu kira-kira pukul 12.15 tengah hari di Kompleks CIQ Bukit Kayu Hitam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik dilihat menangis teresak-esak setelah hukuman dijatuhkan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shuhada Md. Yatim, manakala tertuduh diwakili peguam A.J. Surinarayanan. - Utusan

No comments:

Post a Comment