13 December 2011

Dr M: ‘Usahlah cari bomoh kerana ingin menang’

KUALA LUMPUR, 13 Dis — Sementara tumpuan negara menuju ke arah pilihan raya umum ke-13, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan ahli-ahli politik tidak perlu mendapatkan khidmat bomoh untuk menang.

Kata beliau, kemenangan tidak akan dijamin oleh bomoh, sebaliknya kualiti perkhidmatan dan tingkah laku seseorang akan membawa kejayaan dalam pilihan raya.

“Ahli-ahli politik pun tak usahlah cari bomoh kerana ingin menang. Bukan bomoh yang boleh beri kemenangan. Budi yang baik, tingkah laku yang sopan, keperihatinan akan masalah yang dihadapi rakyat yang boleh memberi kemenangan dan kejayaan,” kata beliau dalam entri terbaru blognya, bertajuk “Tajuk” hari ini.

Bekas presiden Umno ini berkata orang Melayu tidak wajar menjadi bangsa penakut kerana ia juga akan menjadi penghalang kepada kejayaan mereka.

“Menjadi penakut memalukan. Bangsa yang penakut tidak boleh dibanggakan. Janganlah kita sengaja menjadikan bangsa kita bangsa penakut. Sebaliknya cubalah supaya bangsa kita jadi lebih berani,” katanya lagi.

Dr Mahathir (gambar) berkata Melayu mempunyai banyak sebab yang menghalang kejayaan mereka.

Oleh itu katanya, tidaklah perlu kita tambah halangan terhadap kejayaan mereka dengan kepercayaan kepada yang karut-karut. - TMI

No comments:

Post a Comment