30 December 2011

ASPIRASI kecam demo sokong Anwar, Adam Adli

Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (ASPIRASI) hari ini menggesa para pelajar supaya menumpukan perhatian kepada peperiksaan dan tidak menyertai satu perhimpunan untuk menyokong ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari.

Presiden persatuan pro-BN itu, Mohd Shahar Abdullah berkata pihaknya turut mengecam satu lagi perhimpunan akan diadakan esok untuk menyokong seorang pelajar pro-Mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim.

Adam Adli, seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris, berdepan tindakan tatatertib ekoran tindakannya menurunkan satu kain bercetak wajah perdana menteri dalam satu perhimpunan pelajar pro-Mahasiswa sebelum ini.

Mengulas rancangan perhimpunan tersebut, Mohd Shahar berkata tindakan berkenaan merupakan satu "petanda amat teruk kepada demokrasi negara."

"Kita mahu kampus kita menjadi aman, menjadikan mahasiswa berfikiran rasional," katanya yang bimbang jika terdapat pelajar ditahan polis memandangkan peperiksaan di universiti semakin hampir.

Katanya, para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan, juga tidak perlu menyertai perhimpunan 9 Januari – tarikh keputusan perbicaraan kes Liwat II terhadap Anwar.

"Bukan isu Anwar menjadi topik dalam peperiksaan. Sekiranya (mereka) terlibat, kita rasa ia tidak perlu berlaku, dan kita mengecamnya," katanya.

Mohd Shahar (kiri) yang turut mengetuai satu demonstrasi pelajar pro-Aspirasi pada 21 Disember lalu juga berkata, persatuan itu tidak menyalahkan mahasiswa tetapi pihak tertentu yang menggunakan pelajar universiti untuk berdemonstrasi.

Katanya lagi, persatuan itu juga akan menganjurkan siri 'Jelajah Aman Kampus' di 20 buah institusi pengajian tinggi awam dan lima universiti swasta apabila semester baru dibuka pada pertengahan Februari depan.

Jelajah tersebut akan disertai 15 NGO antaranya Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GPMM), Gagasan Pelajar India 1Malaysia dan kumpulan Penggerak Mahasiswa Univerisiti Malaya (UM).

Jelajah tersebut antara lain bertujuan untuk mempromosi keharmonian dan kedamaian bagi memastikan keamanan setiap kampus dipelihara, katanya.

Selain itu, mereka mahu memastikan pembangunan sahsiah dan akademik dititikberatkan oleh pelajar serta meningkatkan semangat patriotisme dan intelektual di kalangan mahasiswa, katanya lagi.

Mohd Shahar berkata, persatuan itu juga tidak mahu demokrasi kampus disalahertikan dan dipesongkan untuk kepentingan pihak tertentu dan tidak mahu mahasiswa terlibat dengan demonstrasi jalananan sehingga menjejaskan pencapaian akademik.

Selain itu, jelajah ini juga akan mengelakkan mahasiswa dari terlibat dengan masalah soasial dan jenayah seperti menjadi keldai dadah, isu seks seperti lesbian, gay dan perkahwinan sejenis.

Acara kemuncak jelajah tersebut merupakan perhimpunan raksasa yang dijangka akan dihadiri perdana menteri bersama kira-kira 5 ribu anak muda, bekas mahasiswa dan NGO. - Malaysiakini

* Akibat dengki Adam Adli jadi hero...

No comments:

Post a Comment