Home | Malaysiakini | Sinar Harian | Astro Awani | BHarian | Kosmo | Malaysia Gazette | HMetro | Mstar | Bernama | Majoriti | Gempak | Bebas News | Carigold | Blogger |
24 November 2011
Sultan Selangor dukacita
SHAH ALAM 23 Nov. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita kerana ada sesetengah pihak di negeri ini suka mengritik dan mencaci pasukan polis.
Baginda bertitah, perbuatan itu adalah sesuatu yang tidak baik serta perlu dielakkan kerana pegawai dan anggota polis juga merupakan manusia biasa yang mempunyai hati serta perasaan.
“Beta berasa dukacita kerana ada segolongan rakyat di negeri ini yang suka mengkritik dan mencaci pihak polis yang sedang menjalankan tugas-tugas dan tanggungjawab mereka.
“Ada juga rakyat yang sengaja tidak mahu mendengar dan degil dengan arahan-arahan yang diberi oleh pihak polis bagi mengelakkan kekacauan dan huru-hara,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.
Sultan Selangor menitahkan seluruh rakyat di negeri supaya terus mematuhi undang-undang serta menyokong tugas-tugas anggota polis bagi memastikan negeri ini terus aman dan damai.
“Beta menyeru kepada semua rakyat di negeri Selangor supaya menyokong tugas-tugas polis dan mematuhi undang-undang serta memberikan kerjasama kepada pihak polis supaya negeri Selangor akan sentiasa berada di dalam keadaan aman dan damai serta rakyatnya yang berbilang kaum dapat hidup dalam harmoni dan selesa,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda berharap pihak polis dapat menjalankan tugas dengan baik serta ikhlas dalam menangani sesuatu kes jenayah dengan adil tanpa mengira kaum, agama, jantina, usia dan status.
“Apa yang penting, setiap anggota polis hendaklah menjalankan tugas mengikut undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menyalahgunakan status sebagai anggota polis mencapai kepentingan peribadi,” titah baginda.
Selain itu, baginda turut mengingatkan pasukan polis supaya menjaga disiplin dan integriti mereka termasuk memastikan bahan bukti untuk sesuatu kes dapat terus dijaga dengan rapi agar ia tidak hilang atau dirosakkan.
“Ini kerana, ia (kehilangan barang kes) boleh menjejaskan perbicaraan sesuatu kes serta boleh menyebabkan orang yang bersalah terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya.
“Kehilangan dan kerosakan bahan bukti juga boleh menyebabkan integriti pihak polis dipersoalkan oleh masyarakat,” titah baginda. - Utusan
* Rakyat persoal polis yang dilihat menjadi kuda tunggangan parti politik pemerintah. Polis disanjung jika bekerja dengan betul...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment