15 November 2011

Shah Bunga dijel 70 bulan



KUALA PILAH 14 Nov. - Seorang kasanova yang dikenali sebagai 'Shah Bunga' dihukum penjara 70 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memperdagangkan isterinya yang sarat mengandung pada awal bulan ini.

Suhaimi Saad, 32, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Suhaimi yang memakai baju lokap berwarna ungu hanya tersenyum sebaik sahaja hukuman itu dijatuhkan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memperdagangkan serta mengeksploitasi isterinya yang berusia 19 tahun itu dengan memaksa mangsa bekerja sebagai pelayan kelab malam sebelum merampas gaji isterinya sebanyak RM20 sehari sebaik sahaja selesai bekerja di Kelab Happy Mansion Karaoke 7 Lounge di No. 34 Taman Sornam, Bahau, Jempol, dekat sini kira-kira pukul 1.05 pagi, 2 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun atau denda.

Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan, Suhaimi yang tidak diwakili peguam bela hanya memohon hukuman ringan dikenakan terhadapnya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana tindakan lelaki itu merupakan jenayah yang sangat serius dan berkaitan dengan kepentingan awam.

''Mengaku bersalah tidak boleh menjadi sebab hukuman dapat diringankan. Hukuman haruslah setimpal dengan kesalahan dan perbuatan tertuduh yang tidak bermoral serta tidak boleh diterima masyarakat,'' katanya.

Utusan Malaysia pada 9 November lalu melaporkan Shah Bunga yang juga bekas banduan dan mengahwini 21 isteri dalam tempoh sembilan tahun semata-mata untuk menampung kehidupannya.

Dia yang juga penganggur itu didakwa mempunyai 18 isteri berketurunan Melayu dan tiga Siam dari Thailand yang dikahwini mengikut agama Islam dan juga Buddha.

Dia dipercayai menjadikan mereka pelacur dan wang hasil menjual tubuh isterinya itu digunakan untuk berjoli dan hidup mewah. - Utusan

* Patut disebat tidak disebat...

No comments:

Post a Comment