10 November 2011

Rumah kebajikan paksa anak yatim seru nama 'Abuya'

SHAH ALAM 9 Nov. - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas melibatkan pelbagai agensi sejak tahun lalu bagi mengenal pasti rumah kebajikan yang memaksa anak yatim berzikir menyeru nama 'Abuya' dipercayai merujuk kepada pengasas pergerakan haram Al-Arqam, Ashaari Mohamad.

Pengarahnya, Marzuki Hussin berkata, langkah itu dilaksanakan bagi mengenal pasti halangan-halangan serta tindakan yang sesuai dari aspek perundangan.

''Kes memaksa anak yatim berzikir menyeru nama Abuya sebenarnya berada dalam pengetahuan JAIS sejak kematian Ashaari lagi.

''Kita mendapati balunya, Khatijah Am menggunakan nama Abuya untuk membolehkan kumpulan itu terus hidup," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar berhubung dakwaan sebuah rumah kebajikan di negeri ini memperalatkan anak-anak yatim di beberapa pusat jagaan untuk direkrut dan didakwa mengamal zikir yang dikatakan tawasul menyebut nama 'Abuya'.

Marzuki berkata, kumpulan itu didapati turut menyediakan pendidikan tertentu kepada anak-anak yatim antaranya mendengar sejarah tentang 'Abuya' dan melihat gambarnya sebelum memulakan sesi pembelajaran.

''JAIS dimaklumkan sehingga kini terdapat lebih 5,000 anak kumpulan itu yang dididik tanpa mengikut sistem pendidikan arus perdana.

''Pada masa sama, mereka digunakan untuk mengutip derma bagi disumbangkan kepada Khatijah yang berada di luar negara," katanya.

Beliau memberitahu, daripada sumber yang boleh dipercayai, Khatijah dikatakan memperoleh lebih RM800,000 sebulan dengan sebahagian daripadanya diperoleh melalui aktiviti rumah kebajikan itu.

Isnin lalu, akhbar melaporkan sebuah pertubuhan yang diharamkan kerajaan berselindung di sebalik rumah kebajikan dengan merekrut anak-anak yatim yang ditempatkan di rumah itu.

Kanak-kanak malang itu dipaksa mengamalkan 'zikir agung' dan kerana tidak tahan lagi, seramai 10 anak yatim terlibat melarikan diri kerana bimbang akidah mereka terpesong.

Selain itu, kanak-kanak di rumah kebajikan itu mendakwa diwajibkan mengamalkan zikir menyeru nama 'Abuya' yang didakwa untuk menambahkan duit tabung, menguatkan iman dan mengalahkan nafsu.

Malah, mereka diwajibkan tawaf di dalam surau selepas waktu Isyak dan melakukan pencak lawan nafsu untuk menghapuskan dosa, membuang sihir dan menghapuskan Yahudi dalam diri. - Utusan

* Filem ABUYA yang menampilkan perempuan terbuka aurat mereka, dibiarkan bebas. Sudah-sudahlah JAIS...

No comments:

Post a Comment