Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata Umno mesti terus melakukan reformasi, khususnya setelah memegang kuasa begitu lama atau menghadapi apa dinamakan oleh pihak Barat sebagai Arab Spring atau Musim Bunga Arab.
"Apabila kita berkuasa sebegitu lama, kita rasa kita kebal dari segi politik, kita mungkin berfikir bahawa tidak kira apa yang berlaku, kita akan tetap berkuasa.
"Tetapi tidak kira betapa berjayanya kita atau begitu banyak kejayaan di negara ini kerana usaha kita, landskap hari ini berbeza. Rakyat dan pengundi hari ini mahu mengetahui tentang hari ini dan masa depan," katanya semasa merasmikan forum antarabangsa "Transformasi Politik, Ekonomi dan Sosial Dalam Era Krisis Global" sempena Perhimpunan Agung Umno 2011, di Kualz Lumpur.
Sambil merujuk Arab Spring yang melanda di negara-negara di Asia Barat, Najib mengulangi mesejnya bahawa Umno perlu menukar atau akan ditukar.
"Ini adalah hakikat. Lihatlah apa yang berlaku dalam konteks Spring Arab. Di Afrika Utara, empat rejim telah ditukar."
Perdana Menteri juga melahirkan keyakinan bahawa kerajaan telah merangka jalan perubahan dengan program transformasi.
justeru, menurut Najib, adalah "amat penting" bagi Umno dan BN dipilih semula pada pilihan raya umum akan datang bagi membolehkan parti menjayakan semua agenda transformasi yang dijanjikan.
Presiden Umno itu berkata ini juga akan memastikan wawasan negara untuk muncul sebagai negara maju pada 2020 dapat diteruskan.
"Kita sudah memulakan perjalanan ini - (melaksanakan) transformasi ekonomi, politik dan sosial...Umno akan menerajui transformasi negara bersama-sama dengan rakan-rakan kita dalam BN, dan kita akan meneruskan perjalanan ini menuju Wawasan 2020.
"Tetapi kita berdepan sedikit cabaran di hadapan kita. Kita perlu melalui jambatan pilihan raya umum akan datang. Saya sentiasa menekankan bahawa ianya bukan tidak penting untuk dipilih semula, sebenarnya amat penting untuk dipilih semula. Untuk kita menjayakan transformasi sebenar, kita perlu dipilih semula," katanya. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment