19 November 2011

Ezam nafi keluar PKR demi wang, jawatan

Bekas Ketua Pemuda PKR Senator Ezam Mohd Nor menafikan beliau bertindak keluar parti sebelum ini demi wang, seperti dikaitkan veteran parti itu Dr Syed Husin Ali dalam memoir terbarunya.

Sambil menyindir "tidak mahu bertengkar dengan orang tua", Ezam menjelaskan, penglibatannya hanya dalam 'syarikat' kecil Gerak Agenda Sdn Bhd untuk memerangi rasuah memberi kesimpulan sebaliknya.

"Dan pada tahun 2007 itu jugalah saya sebagai ketua 'syarikat' yang dikenali sebagai GERAK itu telah menetang ketua BPR (Badan Pencegah Rasuah) ketika itu sehingga dia terpaksa lepaskan jawatannya.

"Kaji juga kenyataan-kenyataan saya dan GERAK selepas tarikh 13 Mei yang disebut Dr Syed. Kesemua kenyataan menentang dan mendesak kerajaan atas nama rasuah.

"Bagaimana orang yang dikatakan keluar parti untuk dapat wang/ jawatan pengarah syarikat besar boleh membuat serangan kepada kerajaan yang memerintah, khususnya ketua BPR?" kata Ezam.

Dr Syed Husin menulis dalam bab "Alasan Ezam keluar parti" dalam memoirnya, Ezam pernah memberitahunya sebulan sebelum meletakkan jawatan bahawa beliau kesempitan wang dan malu kerana bergantung kepada pendapatan isteri.

Beliau juga didakwa berkata "kena cari peluang" mendapatkan satu dua jawatan pengarah dan perkara itu hanya boleh menjadi kenyataan jika ada bukti beliau sudah meninggalkan parti.

'Isterinya ada deria keenam'

Dalam reaksinya kepada Malaysiakini hari ini, Ezam yang kini bergiat dalam BN berkata, perbualannya seperti dirakam semula Dr Syed dalam Memoir Perjuangan Politik bukan dalam konteks keluar parti.

Sebaliknya, kata Ezam, beliau ketika itu menceritakan kesusahannya, antaranya kerana tidak mempunyai kerja, sebagai respons kepada "kekecewaan" Dr Syed Husin dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang didakwa mewah.

"Pada ketika itulah saya kongsi dengannya bahawa saya memang susah. Selama berjuang bergantung gaji tetap isteri dan usahaniaga di Indonesia yang pada masa itu kebetulan sedang merosot dan ditutup.

"Justeru cerita saya susah padanya dalam konteks itu," kata senator BN itu menjawab dakwaan Syed Husin Ali yang juga senator Pakatan Rakyat.

Ezam berkata, kerana hormatkan Dr Syed Husin, beliau banyak menghabiskan masa minum teh bersamanya dan melayan "kekecewaannya disisih Anwar dan Azmin" walaupun menjadi timbalan presiden ketika itu.

Justeru, kata Ezam lagi, beliau hairan mengapa Dr Syed Husin sanggup memulatbelitkan konteks sebenar perbualan mereka.

"Apakah Dr Syed Husin seorang pejuang sudah berubah menjadi Anwar seorang haiwan politik seperti yang dipercayai oleh isteri Dr Syed yang dikongsi olehnya kepada saya pada masa itu juga.

"Dan Dr Syed sendiri mengaku isterinya ada sixth sense (deria keenam) untuk kenal orang dan (dia) tidak selesa Dr Syed bersama Anwar. Mungkin tulisan Dr syed ini bukti telahan isterinya betul. Dr Syed sudah berubah kerana bersama Anwar," katanya. - Malaysiakini

* Kerja kita pun demi wang dan jawatan. Jangan kita hipokrit...

No comments:

Post a Comment