KAHERAH 20 Nov. - Pertempuran antara polis Mesir dan penunjuk perasaan yang mendesak kerajaan tentera mengumumkan tarikh peralihan kuasa masuk hari kedua di Dataran Tahrir di sini hari ini.
Polis melepaskan gas pemedih mata ke arah beberapa ribu penunjuk perasaan di Dataran Tahrir hari ini, pusat pemberontakan rakyat selama 18 hari yang menyaksikan pemimpin Mesir, Hosni Mubarak digulingkan pada Februari lalu.
Penunjuk perasaan pula membalas dengan melemparkan batu ke arah polis.
Kejadian terbaru itu berlaku selepas pertempuran di Kaherah dan dua bandar lain di negara ini yang menyaksikan dua orang maut dan beratus orang lagi cedera.
Dalam kejadian semalam, beratus-ratus golongan muda melaungkan ‘Rakyat mahu menggulingkan rejim’ di pusat kota Kaherah semalam ketika mereka merempuh polis yang melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata.
Perusuh turut memecahkan simen di laluan pejalan kaki dan melemparkannya ke arah polis selepas pasukan keselamatan hilang kawalan di Dataran Tahrir sebanyak dua kali.
Bangunan pentadbiran negeri Mogamma berdekatan dataran berkenaan terbakar pada tengah malam tadi.
Ketika polis melepaskan gas pemedih mata beberapa kali, penunjuk perasaan berdekatan bangunan Kementerian Dalam Negeri membina tembok sekatan jalan raya daripada batu-bata bagi menghalang laluan ke dataran berkenaan.
Agensi berita rasmi MENA yang memetik jurucakap Kementerian Kesihatan berkata, 676 orang cedera dalam pertempuran di Kaherah.
‘‘Seorang penunjuk perasaan, Ahmed Mahmoud berumur 23 tahun meninggal dunia di hospital. Seorang lagi mangsa maut di Iskandariah,’’ kata MENA.
Pilihan raya umum dijangka bermula pada 28 November ini namun akan ditangguhkan jika keganasan semakin meluas. – Agensi
No comments:
Post a Comment