16 October 2011

Ubat bertukar racun


DEWASA ini penggunaan ubat-ubatan tradisional dan komplementari (TCM) semakin mendapat kepercayaan berikutan kerancakan aktiviti penyelidikan dan kecanggihan teknologi yang digunakan pengeluar.

Ubat itu termasuk ubat tradisional Melayu dan Cina, selain rawatan ayurveda, homeopati dan akupuntur.

Bagaimanapun, bukan semua produk yang dikatakan ubat itu boleh menyembuhkan penyakit. Malah, banyak kes berkaitan ubat tradisional dan alternatif sebelum ini didapati mendatangkan mudarat.

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 11,885 produk TCM telah didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) setakat ini.

Namun, pada tahun lepas, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) menerima 127 laporan kesan mudarat akibat penggunaan produk tradisional termasuk yang didaftarkan dengan PBKD.

Ujian

BPFK mengesan pelbagai produk tradisional yang dicemari dengan bahan terkawal atau racun berjadual seperti steroid, sibutramine (ubat langsing) dan sildenafil (ubat kuat lelaki).

Bahan-bahan terkawal itu berfungsi untuk menahan kesakitan selain bertindak melangsingkan badan seseorang. Ia juga didakwa mampu menambah kekuatan tenaga batin lelaki dan wanita.

Mengulas isu ini, Pengarah Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Razak Lajis memberitahu, kebanyakan ubat tradisional dan alternatif tidak melalui fasa ujian klinikal bagi mengenal pasti produk tersebut selamat digunakan.

“Produk yang telah didaftarkan ini hanya melalui ujian keselamatan penting di BPFK seperti saringan steroid, logam berat dan bahan terlarang berdasarkan dakwaan khasiat oleh pengeluar atau pengedar.

“Dakwaan yang dinyatakan oleh pengeluar mungkin terhad kepada kajian ke atas haiwan, testimoni pengguna dan rujukan secara turun-temurun,” katanya.

Namun begitu, Razak menjelaskan tidak semua produk tradisional memberi kesan sampingan kepada pengguna.

“Sama seperti ubat-ubatan moden, ada yang memberi kesan sampingan dan ada yang tidak.

“Apa yang penting pengguna yang mengambil ubat ini perlu merujuk pakar perubatan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau juga mengingatkan penghidap penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis bahawa rawatan moden dan tradisional hanya berfungsi untuk mengawal penyakit tersebut dan bukan memulihkannya. - Kosmo

No comments:

Post a Comment