Home | Malaysiakini | Sinar Harian | Astro Awani | BHarian | Kosmo | Malaysia Gazette | HMetro | Mstar | Bernama | Majoriti | Gempak | Bebas News | Carigold | Blogger |
22 October 2011
Siapa tembak Gaddafi?
SIRTE 21 Okt. - Imej ngeri Muammar Gaddafi berlumuran darah ketika diseret dan dikelilingi tentera kerajaan sementara Libya yang marah, tersebar cepat di seluruh dunia selepas kematian dramatik diktator Libya itu akibat cedera dalam serangan di bandar kelahirannya, Sirte, awal semalam.
Punca sebenar kematian Gaddafi masih tidak jelas ekoran beberapa laporan yang bercanggah.
Namun rakaman saat-saat terakhir keadaan Gaddafi yang cemas memberi beberapa petunjuk mengenai situasi sebenar.
Rakaman seorang individu di tempat kejadian menunjukkan Gaddafi masih hidup ketika ditahan dan bekas pemimpin Libya itu kelihatan keliru serta cedera sebelum ditarik keluar dari bonet kereta.
"Pastikan dia (Gaddafi) hidup," jerit seseorang.
Gaddafi kemudiannya hilang daripada pandangan dan kedengaran bunyi tembakan.
"Mereka menangkapnya hidup-hidup dan semasa ditahan, dia dipukul sebelum dibunuh. Dia mungkin melawan," kata seorang pegawai Kanan Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC).
Berbeza dengan kenyataan Pemangku Perdana Menteri NTC, Mustafa Jibril yang berkata, Gaddafi terbunuh dengan kesan tembakan di kepala dalam satu pertempuran antara penyokongnya dan tentera kerajaan selepas dia ditahan.
Katanya, NTC tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk membunuh Gaddafi.
Gaddafi menggelar pemberontak sebagai 'tikus' namun akhirnya dia yang ditangkap dalam saluran kumbahan yang dipenuh najis dan sampah.
"Dia memanggil kami sebagai tikus dan lihat di mana dia ditemui," kata Ahmed Al Sahati, seorang tentera kerajaan sementara Libya sambil berdiri di dua saluran kumbahan yang busuk di bawah lebuh raya dekat Sirte.
Sebelum solat Subuh, Gaddafi yang diiringi berpuluh-puluh pengawal peribadi dan ditemani ketua tenteranya, Abu Bakr Younis Jabr, cuba meninggalkan Sirte yang dikepung selama dua bulan dan menuju ke arah barat.
Tentera Perancis berkata, pesawatnya mengebom kenderaan tentera Gaddafi berhampiran Sirte pada kira-kira pukul 8.30 malam (7.30 malam waktu Malaysia), namun tidak pasti sama ada serangan tersebut yang membunuh diktator itu.
Tiga kilometer di barat Sirte, 15 buah trak dilengkapi mesingan terbakar dan hancur berdekatan pencawang elektrik yang terletak 20 meter dari jalan raya utama.
Kesan kemusnahan tersebut jelas menunjukkan konvoi kenderaan itu diserang pesawat tempur memandangkan tiada kesan kawah akibat letupan bom.
Di dalam trak terbabit, mayat pemandu yang hangus dan penumpang masih terdapat di tempat duduk masing-masing, manakala mayat-mayat lain bergelimpangan di kawasan rumput.
Seorang ketua pengawal peribadi Gaddafi, Mansour Dou ada bersama Gaddafi sebelum diktator itu mati.
Mansour yang terselamat dan ditahan berkata, selepas serangan udara itu, mereka yang terselamat berpecah kepada beberapa kumpulan dan mengikut haluan masing-masing.
"Saya bersama Gaddafi dan Abu Bakr serta kira-kira empat askar," katanya kepada televisyen Al-Arabiya.
Katanya, dia tidak menyaksikan kematian ketuanya kerana pengsan selepas mengalami luka di belakang badan ekoran letupan serangan meriam. - REUTERS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment