13 October 2011

Polis Tahan Rakan Suspek Kes Samun Kereta Yang Ditembak Mati

SHAH ALAM, 13 Okt (Bernama) -- Polis Khamis menahan seorang lelaki yang disyaki rakan suspek curi kereta yang ditembak mati polis di Seksyen 24, Shah Alam, Rabu malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Mohd Adnan Abdullah berkata lelaki berusia 20-an itu ditahan di kawasan Shah Alam pagi Khamis.

Lelaki itu disyaki seorang daripada dua lelaki yang mengacukan pistol ke arah sebuah keluarga pemilik MPV jenis Mitsubishi Grandis sebelum mereka melarikan kereta itu di Hentian Rehat Bukit Gantang, Perak, 24 Sept lepas, katanya ketika dihubungi di sini.

Dalam kejadian 9.30 malam tadi, seorang lelaki berusia 28 tahun ditembak mati di kawasan tempat letak kereta sebuah flat di Seksyen 24 di sini selepas dia dihantar di kawasan itu oleh seorang wanita dengan sebuah kereta jenis Perodua Kenari berwarna merah.

Lelaki itu ditembak selepas dia melepaskan dua das tembakan ke arah polis ketika cuba melarikan diri.

Polis turut menahan wanita terbabit yang berusia 24 tahun kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Ditanya mengenai pemeriksaan lanjut terhadap MPV Mitsubishi Grandis itu, Mohd Adnan berkata polis menemui sepucuk pistol jenis Glock dan sebilah parang.

"Pemeriksaan pada kereta Perodua Kenari yang dinaiki suspek sebelum itu bersama wanita berumur 24 tahun itu menemui komputer tablet, iPad dan komputer riba.

"Kami percaya mereka adalah pasangan kekasih dan pemeriksaan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui sama ada barangan gajet elektronik itu miliknya atau barang samun," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment