19 October 2011

PAS Selangor larang ahlinya sertai Himpunan Sejuta Umat


KUALA LUMPUR, 19 Okt ─ PAS Selangor mengarahkan semua ahlinya tidak menyertai Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang akan diadakan Sabtu ini bagi membincangkan isu khusus murtad dan pemesongan akidah di kalangan Muslim.

Ia memberi amaran akan mengenakan tindakan disiplin ke atas mana-mana ahli yang menyertai perhimpunan itu kerana ia melanggar keputusan kepimpinan parti malam tadi.

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata arahan tersebut dikeluarkan susulan pendirian PAS pusat semalam bahawa parti itu tidak akan menyertai perhimpunan itu.

“Presiden PAS telah menyatakan bahawa PAS tidak terlibat dalam Himpunan Sejuta Umat, oleh itu Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman mengarahkan semua ahli PAS di Selangor, agar tidak terlibat dalam himpunan tersebut,” kata beliau dalam satu kenyataan SMS petang ini.

Menurut Khairuddin, arahan terebut dikeluarkan Pesuruhjaya PAS Selangor selaras dengan arahan yang diterima daripada Presiden PAS.

Dalam kenyataan dikeluarkan tengah malam tadi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata biro politik memutuskan bahawa pihaknya mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program yang tidak mahu melibatkan parti politik.Dalam pada itu Dr Rani mengesahkan kepada The Malaysian Insider bahawa beliau telah mengeluarkan arahan kepada pemimpin pelbagai peringkat selepas mesyuarat biro politik semalam.

“PAS Selangor akan akur dan patuh kepada tindakan diambil kepimpinan pusat bahawa kita tidak wajar hadir perhimpunan itu sebagai parti politik.

“Ini sebagai tindakan menghormati kehendak penganjur Himpun untuk menjadikannya majlis bukan politik,” kata Adun Meru ini.

“PAS adalah parti politik, bukan NGO. Kami tidak harus mengambil bahagian,” katanya lagi.

Dr Rani menjelaskan ahli parti itu boleh hadir atas kapasiti sebagai wakil NGO.

Tambah beliau, jika mana-mana ahli didapati hadir dengan menggunakan logo atau kain rentang PAS dan mengisytiharkan diri mereka ahlinya, tindakan disiplin akan dikenakan. - TMI

* Gagal lagi perangkap Umno...

No comments:

Post a Comment