30 October 2011

MLM: Tiada Penyingkiran Di Minggu Pertama

SHAH ALAM: Tiga kumpulan peserta yang mendapat markah terendah iaitu Caer (30 peratus), Lanun (30 peratus) dan Anje (30 peratus) terselamat daripada disingkir pada pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) yang berlangsung di Royal Theater Selangor, di sini, Jumaat.

Pengumuman yang dibuat oleh juri iaitu, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan ternyata melegakan mereka untuk meneruskan pertandingan pada minggu kedua.

Ini membuka peluang kepada ketiga-tiga peserta tersebut untuk bersaing semula dengan tiga peserta yang mendapat markah tertinggi iaitu Boboi (61 peratus), Bawal Power (59 peratus) dan Pimai (59 peratus) termasuklah 11 peserta lain iaitu Syok, Bawel, Rap, Saehu, Comel, Osbon, Adlin, Gebu, 3G, JH dan Hiro.

Bagi minggu pertama itu, kesemua peserta diberi peluang membuat persembahan bebas sebagai tanda perkenalan mereka kepada penonton.

Dua peserta dari Indonesia iaitu Bawel dan Saehu dilihat memberi saingan hebat kepada peserta-peserta lain Malaysia termasuklah dua peserta dari Singapura (Syok dan Gebu) dan rakan senegara mereka, Caer.

Peserta negara, Boboi, Adlin dan JH turut memberi saingan sengit kepada peserta-peserta lain.

Menurut Chef Wan, untuk minggu pertama, masih terlalu awal lagi untuk memberi kritikan kepada peserta tetapi melihat, penyertaan tiga buah negara memberikan saingan hebat buat semua lebih-lebih lagi bagi peserta Malaysia.

"Saya faham, kali pertama pelawak 'otai' menyertai pertandingan, situasinya agak berbeza. Saya dapat lihat ada beberapa peserta tempatan yang menyerlah dan ada yang tidak.

"Bagaimanapun, melihat persembahan Bawel dan Saehu, mereka begitu yakin dan mereka seperti mempunyai latihan yang cukup.

"Kadang-kadang orang kita terlalu mencuba untuk buat lawak sedangkan kata-kata yang bersahaja seperti Boboi dan JH juga boleh membuat penonton ketawa. Ini memberikan saingan hebat buat para peserta.

"Bagi saya, pesembahan yang paling teruk pada minggu ini ialah Comel," katanya selepas tamat pertandingan tersebut.

Selain Chef Wan, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan bekas pemain bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan juga menjadi juri tetap MLM manakala penyanyi Singapura, Imran Ajmain sebagai juri undangan.

Sementara itu, Siti berkata, dia melihat peserta-peserta tempatan dari kalangan pelawak 'otai' sahaja yang berjaya menghiburkan penonton.

"Saya faham, bukan mudah untuk buat lawak. Malah saya juga mempunyai masalah sama bila ingin interaksi menghiburkan penonton.

"Cuma apa yang saya harap, di penghujung pertandingan nanti, kita dapat lihat peserta-peserta terbaik dari tiga negara ini bersaing," ujarnya.

Pertandingan MLM menggabungkan pelawak dan pelakon komedi berportfolio tinggi daripada tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Mereka akan berentap untuk merebut gelaran juara MLM dan akan membawa pulang hadiah utama sebanyak RM350,000.

Para peserta akan diadili dengan konsep 70 peratus daripada markah juri manakala 30 peratus undian penonton.

MLM bersiaran pada setiap Jumaat, pukul 10 malam, menerusi saluran Astro Warna (132). - Mstar

* Tukar segera Chef Wan. Dia rosakkan program lawak ini...

No comments:

Post a Comment