25 October 2011

Mahkamah sivil boleh bicara kes cubaan murtad


Orang bukan Islam yang menyebarkan fahaman agama mereka kepada umat Islam boleh didakwa di mahkamah sivil mengikut Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kesalahan yang diperuntukkan di bawah enakmen itu antaranya melibatkan kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang beragama Islam supaya mengubah keimanan.

Kesalahan lain ialah menerbit dan menyebarkan terbitan mengenai apa-apa agama selain Islam serta mendedahkan orang belum dewasa beragama Islam kepada pengaruh agama bukan Islam.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 yang berkaitan portfolionya pada persidangan Dewan Rakyat,semalam.

"Sangat ramai yang tidak sedar kewujudan enakmen ini yang sudah dilaksanakan pada tahun 1980, dan ia (mereka yang bersalah) tidak akan didakwa di mahkamah syariah," katanya.

Beliau berkata antara negeri yang menguatkuasakan enakmen itu ialah Terengganu, Kelantan, Selangor, Melaka, Kedah, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Perlis.

Jamil Khir berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terus bekerjasama dengan semua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dalam usaha mengawal dan menyekat perkembangan ajaran agama lain yang boleh memesongkan akidah umat Islam.

Beliau berkata kerajaan, melalui Jakim selaku badan penyelaras telah menjalankan usaha penyelarasan undang-undang bagi tujuan menyeragamkan undang-undang Islam di setiap negeri.

"Walaupun isu mengenai hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa majlis agama Islam negeri masing-masing, tetapi kerjasama perlu demi menjamin kehormatan dan kesucian Islam," katanya.

Bagi menangani isu fahaman Syiah di negara ini, beliau berkata kerajaan mengambil pendekatan berhemah dengan memberi kebebasan pengikut Syiah mengamalkan fahaman itu, tetapi mereka dilarang menyebarkannya kepada umat Islam yang mempunyai pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Pemantauan secara turun padang dilakukan bersama-sama. Jakim, majlis agama negeri dan polis sentiasa mengikuti aktiviti dan perkembangan terkini fahaman itu," katanya.

- Bernama

* Mesti ada tindakan undang-undang bagi mereka yang telah murtad...

No comments:

Post a Comment