29 October 2011

Lelaki bunuh gadis didakwa

BANTING - Seorang penganggur yang melarikan diri dari tahanan polis tujuh tahun lalu berhubung satu kes bunuh dan tanam seorang remaja akhirnya berjaya dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok di sini semalam untuk menghadapi tuduhan tersebut.

Kher Thian Hock, 37, yang dipercayai turut berukar identiti baharu didakwa membunuh See Sheau Fang, 18, pada 2004 iaitu tahun yang sama tertuduh melarikan diri dari Balai Polis Tanjung Sepat selepas ditahan berhubung kematian remaja itu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Tian Hock semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret Sepang, Rozaidi Yaacob.

Tian Hock didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan sebuah rumah di Jalan Wira 24, Taman Perwira, Sijangkang dekat sini di antara pukul 9.30 pagi dan pukul 5.30 petang pada 28 Februari 2004.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari tahanan di Balai Polis Tanjung Sepat di antara pukul 6.30 pagi dan pukul 7.30 pagi 13 Mac 2004 setelah ditahan untuk disiasat berhubung kes bunuh itu.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Cif Inspektor Ridhuan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Rozaidi kemudian menetapkan 8 November ini untuk sebutan semula.

Laporan akhbar pada 9 Mac 2004 menyiarkan mayat seorang gadis yang dilaporkan hilang sejak 26 Februari 2004 ditemui ditanam dalam lubang sedalam 1.52 meter di tempat letak kereta yang disimen di sebuah rumah teres, Taman Perwira, Sijangkang dekat sini.

Mayat Sheau Fang, 18, ditemui dalam keadaan kaki dan tangannya diikat serta tubuhnya dibalut dengan plastik.

Bagaimanapun, empat hari kemudian, salah seorang daripada lima lelaki yang ditahan berhubung kes bunuh tersebut telah melarikan diri dari lokap Balai Polis Tanjung Sepat, Banting.

Thian Hock, 29, melarikan diri melalui bumbung balai polis berkenaan setelah berjaya memecahkan siling bilik air lokap pukul 7.15 pagi.

Suspek berjaya ditahan semula pada 5 Oktober lalu di Masai, Johor berhubung dakwaan terlibat dalam kes melarikan sebuah kereta mewah selepas dipercayai menggunakan identiti dan kad pengenalan baharu. - Kosmo

No comments:

Post a Comment