21 October 2011

Hatijah Aam pertahan 'Seks Islam'


Penulis buku kontroversi Seks Islam, Hatijah Aam hari ini tampil mempertahankan penerbitan buku panduan yang didakwa menampilkan ajaran untuk melakukan hubungan seks di antara suami isteri secara kerohanian.

Hatijah berkata, beliau setentunya telah ditahan pihak berkuasa sekiranya ajaran yang dibawa dalam buku dengan tajuk kecil Perangi Yahudi Untuk Kembalikan Seks Islam Kepada Dunia itu tidak sah di sisi Islam.

"Patutnya bila pihak berkuasa tahu, sebab kami bercakap dengan (polis) Bukit Aman, dengan cawangan khas (polis). Sepatutnya bila mereka tahu (Seks Islam diterbitkan) tentu dia kata 'ha, ini mesti nak buat hiruk pikuk, buat kesesatan lagi.'

"Tangkap sajalah. Tapi tak tangkap pun. Dia pun seronok tentang seks. Memang seronok, nak tahu macam mana nak goda isteri sampai gilakan suami," kata Hatijah yang juga isteri kepada pengasas kumpulan al-Arqam, allahyarham Ashaari Muhammad.

Bukan sebilik, serentak

Hatijah juga menjelaskan laporan akhbar sebelum ini yang mendakwa bahawa kelab pro-poligami itu menganjurkan supaya suami melakukan seks secara serentak bersama para isteri mereka melalui buku berkenaan.

"Serentak itu bukan keempat-empat (isteri) duduk sebilik, (para) isteri melakukan (seks) bersama. Kalau pelacuran, memang ada orang tempah dua, empat (wanita) sekali.


"Tapi dalam Islam tidak boleh, bukan sunnah Nabi duduk semua isteri sebilik, serentak. Bukan. Itu satu penipuan, satu salah faham," katanya lagi dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Bercakap kepada wartawan melalui panggilan Skype, Hatijah yang berada di Mekah berkata, perlakuan seks tersebut bukanlah secara fizikal tetapi secara "kerohanian."

"Yang dimaksudkan adalah bila manusia ini sudah mampu mencapai taraf perkembangan perasaannya, roh itu disuburkan (dan) terjadilah aktiviti roh yang sangat berlaku di kalangan orang-orang tuhan atau orang yang sangat mendalami perkara ini," katanya lagi.

Satu petikan di kulit belakang buku tersebut menyebut: "Selaku pemimpin roh, kebolehan yang Allah izinkan kepada mereka ialah boleh serentak dengan semua isteri-isteri melakukan hubungan jenis. Manakala kalau isteripun orang roh, lagilah hebat.

“Ke mana-mana terbang untuk atau sambil melakukan hubungan sulit itu dalam keadaan lebih nikmat dan lebih ringan dibanding dengan perlakuan yang menggunakan fizikal. Untuk itulah Abuya sedang proses isteri-isterinya ke arah roh."

Salinan buku panduan seks yang menarik perhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu turut diedarkan kepada wartawan yang membuat liputan sidang media berkenaan.

Dilaporkan, Jakim sedang menimbang untuk menyekat pengedaran buku yang didakwa menonjolkan seks dengan cara tidak beradab itu.

Kelab Taat Suami mengehadkan jualan buku kecil setebal 115 halaman itu kepada anggota Kelab Taat Suami yang telah berkahwin dengan harga RM50. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment