IPOH 14 Okt. – Sepasang kekasih masing-masing dihukum penjara 10 tahun dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah melacurkan dua wanita Vietnam, tiga tahun lalu.
Hakim Noor Hayati Mat menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Kong Kok Kyt, 32, dan teman wanitanya, Lee Vo Tu, 25, yang merupakan warga Vietnam, setelah mendapati pembelaan mereka gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Beliau turut memerintahkan tempoh pemenjaraan itu ditambah dua bulan lagi jika gagal membayar denda tersebut yang perlu dijelaskan pada hari ini.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu rayuan dengan Kok Kyt dikenakan ikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin, manakala Vo Tu pula diikat jamin RM20,000 dengan dua orang penjamin.
Mengikut pertuduhan, Kok Kyt dan Vo Tu dituduh bersama-sama memperdagangkan dua wanita Vietnam berusia 31 dan 34 tahun di sebuah rumah bernombor No. 13A, Taman Sri Koh, Kampung Koh, Sitiawan, Manjung antara 19 Julai 2008 dan 23 September 2008.
Pasangan tersebut yang mempunyai seorang anak berusia dua tahun dan dijangka menimang cahaya mata kedua, empat bulan lagi didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.
Mereka berdua dihadapkan ke mahkamah pada 1 Julai 2009 dan diperintah membela diri di akhir kes pendakwaan pada 15 Oktober 2010.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Laila Mohamed Nazil manakala peguam bela, Hong Chong Hang mewakili kedua-dua tertuduh.
Mengikut fakta kes, kedua-dua mangsa masuk ke negara ini pada 14 Julai 2008 selepas dijanjikan pekerjaan menjahit dengan gaji RM40 hingga RM50 sehari di sebuah kilang di sini oleh seorang wanita Vietnam.
Sebaik sahaja tiba di negara ini, mereka berdua dikurung di sebuah rumah dua tingkat yang dijadikan pusat karaoke dan dipaksa melacurkan diri dari pukul 7 malam hingga 2 pagi.
Bagaimanapun, dalam satu serbuan polis, kedua-dua mangsa ditahan dan kemudian didenda RM3,000 serta meringkuk dalam penjara selama 41 hari sebelum tertuduh membayar denda itu.
Dua wanita Vietnam itu kemudian dikurung semula selama enam hari oleh kedua-dua tertuduh sebelum berjaya menyelamatkan diri dan membuat laporan di Balai Polis Ipoh pada 25 September 2009. – Utusan
No comments:
Post a Comment