22 October 2011

Bangkit pertahankan akidah

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Semua umat Islam perlu bangkit dan bersatu mempertahankan Islam daripada diganggu-gugat oleh musuh-musuh agama.

Sebagai reaksi kepada Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang bakal berlangsung di Stadium Shah Alam esok, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, penganjuran perhimpunan itu hanya bertujuan untuk menyeru umat Islam negara ini supaya berpegang teguh mempertahankan kesucian agama.

Katanya, ia sekali gus menafikan bahawa ia dianjurkan atas sebab politik.

''Saya akan hadir (Himpun) esok. Semua umat Islam perlu bangun mempertahankan Islam dan perhimpunan esok hanya untuk menyeru umat Islam supaya berpegang teguh demi mempertahankan agama,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Setakat ini, hampir 100,000 ahli daripada 3,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah mengesahkan kehadiran sebagai menyatakan sokongan menjayakan Himpun yang bertujuan menyelamatkan akidah umat Islam daripada gejala murtad.

Baru-baru ini, Harussani turut menggesa pihak berkuasa agama untuk mewujudkan akta Murtad bagi menghukum individu yang terbukti bersalah memurtadkan orang Islam kerana ia jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Setiausaha Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (Accin), Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, golongan bukan Islam tidak boleh mempersoalkan tindakan penganjuran perhimpunan itu kerana ia adalah hak Islam sekali gus berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan mana-mana agama lain melakukan dakyah kepada umat Islam.

Katanya, tindakan tersebut juga selari dengan Deklarasi Cairo iaitu satu deklarasi terhadap hak asasi manusia dalam Islam yang diluluskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diterima oleh Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) (OIC) pada tahun 1990.

''Sebagai masyarakat Islam yang ingin menzahirkan keprihatinan mereka, kita boleh lakukan perhimpunan ini mengikut undang-undang.

''Oleh itu, saya menyeru semua umat Islam supaya turun beramai-ramai esok sebagai menyatakan pendirian kita,'' katanya.

Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Datuk Nakhaei Ahmad pula berkata, penganjuran perhimpunan itu merupakan langkah terbaik untuk menyedarkan mana-mana pihak agar tidak terlalu ghairah mendapatkan kuasa biarpun sanggup menggadaikan maruah agama dan bangsa.

''Adalah amat wajar NGO Islam tampil ke hadapan supaya keghairahan parti politik yang mengejar kuasa dapat disekat.

''Sekiranya ada parti politik bersikap sedemikian, pihak bukan Islam tidak rasa takut untuk mengembangkan agama mereka di kalangan orang Islam,'' katanya.

Sementara itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyokong Himpun kerana ia melibatkan urusan akidah umat Islam dan mendapat permit polis.

Sehubungan itu, pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa turut menyeru umat Islam lain yang menyokong usaha mempertahankan akidah dan agama Islam di Selangor supaya hadir beramai-ramai pada perhimpunan itu.

''Saya yakin semua yang hadir adalah kerana menyokong usaha untuk mempertahankan akidah Islam dan akan menjadi tetamu yang beradab.

''Saya sendiri akan hadir bersama keluarga sebagai seorang umat Islam yang menyokong usaha ini," katanya. - Utusan

* Kan baik kalau himpun bantah Umno halang hudud...

No comments:

Post a Comment