03 September 2011

Tarik balik kenyataan - PPPMM


MUAR 2 Sept. - Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) mendesak Mohamad Sabu supaya segera meminta maaf dan menarik balik kenyataannya berhubung tragedi Bukit Kepong.

Presiden PPPMM, A. Rahman Mahadi berkata, tindakan Mohamad atau Mat Sabu yang seperti lontar batu sembunyi tangan amat dikesali dan tidak bertanggungjawab kerana perbuatannya itu mengguris hati majoriti rakyat di negara ini.

"Mat Sabu sebenarnya telah melakukan penghinaan terhadap negara dan derhaka kepada bangsanya sendiri. Suara yang menidakkan perjuangan bangsa adalah suara sumbang yang tidak berasaskan sejarah.

"Malah golongan ini amat malang kepada agama dan bangsa apabila sejarah sebenar negara mahu dipadamkan dan fakta mahu diubah," katanya kepada pemberita selepas anggota PPPMM dan penduduk Bukit Kepong melakukan demonstrasi aman di Balai Polis Bukit Kepong, dekat sini, hari ini.

Demonstrasi itu bagi membantah kenyataan Mat Sabu pada 21 Ogos lalu dalam satu ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, yang menganggap pengganas Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar.

Dalam tragedi berdarah Bukit Kepong yang bermula kira-kira pukul 5 pagi pada 23 Februari 1950, satu persatu anggota keselamatan dan ahli keluarga mereka gugur selepas diserang dari setiap sudut oleh 200 pengganas komunis, malah sebahagian daripada mangsa dicampak hidup-hidup ke dalam api.

A. Rahman yang juga Pengerusi Angkatan Fi-Sabilillah Johor berkata, adalah sesuatu yang mengecewakan apabila fakta sebenar tragedi itu yang bukan sahaja mengguris hati orang Melayu tetapi rakyat Malaysia diputarbelitkan. - Utusan

* ...dapat juga masuk akhbar...kalau tidak bila lagi...

No comments:

Post a Comment