22 September 2011

Polis nasihat anak Mat Sabu jangan cakap sembarangan


Timbalan Ketua Polis Negara menasihatkan Ahmad Saiful Islam, anak kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu supaya tidak membuat kenyataan sembarangan terhadap polis tanpa mempunyai bukti.

Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, kenyataan anak lelaki timbalan presiden PAS itu yang menuduh pihak polis sebagai dalang dalam kejadian cubaan membakar rumah mereka baru-baru ini adalah menghairankan dan tidak masuk akal.

"Jangan cakap sembarangan. Sudahlah bapak dia (Mohamad Sabu) cakap lepas, janganlah anak pun sama jugak. Kalau tiada asas untuk membuat tuduhan sedemikian, jangan," katanya kepada pemberita selepas melawat pangkalan Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua di Tampoi, hari ini.

Katanya, jika Ahmad Saiful mempunyai bukti menyokong dakwaannya bahawa polis terlibat, beliau boleh membuat laporan polis atau jika enggan berbuat demikian, boleh berjumpa dengannya atau Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Khalid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan anak lelaki Mohamad Sabu yang menuduh polis sebagai dalang di dalam kejadian cubaan membakar rumah mereka baru-baru ini.

Di dalam kejadian yang berlaku pada jam 12.40 tengah malam itu, rumah teres dua tingkat Mohamad Sabu dilaporkan dilontar "Molotov Cocktail" oleh individu tidak dikenali tetapi hanya menyebabkan kerosakan kecil di bahagian pintu pagar.

Mengenai kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, M Manoharan di dalam laman sosialnya untuk menukar Jalur Gemilang, Khalid berkata, polis masih mengkaji tentang kes itu.

"Kita akan tengok apa yang perlu kita buat. Kita sudah cakap sebelum ini, jangan cakap sesuka hati yang boleh mengguris orang lain atau menimbulkan keadaan tidak tenteram di kalangan masyarakat," katanya.

Beliau yang meminta semua pihak supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, berkata tidak pasti tentang bilangan laporan polis yang diterima pihaknya berhubung kenyataan kontroversi Manoharan itu.

"Fikirlah dulu sebelum bercakap. Ini yang bercakap semua terpelajar bukan bodoh-bodoh belaka. Fikirlah dulu sebelum keluarkan pandangan, kritikan dan sebagainya," kata Khalid. - Bernama

* Kalau kereta Rosmah yang disimbah "Molotov Cocktail", barangkali cara siasatan polis berbeza...

No comments:

Post a Comment