LANGKAWI 8 Sept. – Sebanyak 25,808 peluang pekerjaan, termasuk sebagai usahawan baharu berjaya diwujudkan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sehingga Julai lalu.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq berkata, angka tersebut dicapai menerusi pelaburan pihak swasta sejak 2008 yang kini berjumlah RM6.89 bilion.
Menurutnya, kejayaan tersebut adalah selaras dengan komitmen NCER untuk berkembang seiring dengan taraf hidup masyarakat setempat khususnya yang berada di luar bandar.
“Pelaburan-pelaburan baharu yang masuk telah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di NCER.
“Sejak Januari hingga Julai tahun ini sahaja, sebanyak 9,910 peluang pekerjaan baharu berjaya diwujudkan di NCER,” katanya semasa taklimat kepada media di sini, kelmarin.
Sejak Januari hingga Julai lalu, nilai pelaburan pihak swasta di NCER adalah RM12.97 bilion.
Pada tempoh yang sama, jumlah Pendapatan Negara Kasar (GNI) yang berjaya dihasilkan adalah RM29.62 bilion.
Sementara itu, kira-kira 15 wartawan dari media cetak dan elektronik dibawa melawat projek-projek industri kecil dan sederhana di NCER oleh NCIA selama dua hari bermula 6 September lalu.
Antaranya ialah projek penternakan ikan dalam sangkar di Sungai Menghulu di sini; kilang memproses jus buah-buahan di Kangar, (Perlis), kilang memproses daging di Jitra (Kedah), penternakan udang putih di Sungai Kerang, (Perak), ladang lebah di Tasek Gelugor dan kilang ujian cahaya di Bayan Lepas (Pulau Pinang). - Utusan
No comments:
Post a Comment