18 September 2011

Letupan bom: 4 rakyat Malaysia maut

SUNGAI GOLOK, Selatan Thailand 17 Sept. – Empat rakyat Malaysia termasuk seorang kanak-kanak antara lima yang maut apabila tiga butir bom meletup di kawasan hiburan di Jalan Charoen Khet di sini, lewat petang semalam.

Letupan itu juga menyebabkan 19 rakyat Malaysia cedera yang mana dua daripadanya iaitu Yau Win dan Heng Chin Goa parah serta dirawat di Hospital Yala, Thailand.

Mereka yang maut ialah Foong Foo Keah, 45, dari Kuantan, Pahang; Wong Hong Yep, 64, dan cucunya, Wong Kai Sean berusia tiga tahun dari Jalan Hamzah, Kota Bharu, Kelantan manakala seorang lagi mangsa ialah sukarelawan Thailand yang berusia 38 tahun. Seorang lagi rakyat Malaysia, Chen Yew Soon, 40, meninggal dunia di Hospital Hadyai pukul 8 malam tadi.

Hong Yep dan cucunya berada di Sungai Golok petang semalam bersama tiga lagi ahli keluarga manakala Foo Keah datang bersama abang dan rakannya ke bandar tersebut sebelum maut dalam letupan itu.

Timbalan Datuk Bandar Sungai Golok, Rusdi Che Omar berkata, letupan pertama berlaku kira-kira pukul 7.30 petang waktu Malaysia, apabila sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan Pusat Kebudayaan Persatuan Teochew yang terletak di tengah sepanjang jalan tersebut meletup menyebabkan berpuluh-puluh orang cedera.

“Kira-kira lima minit kemudian, sebutir lagi bom yang diletakkan pada motosikal berhampiran sebuah hotel meletup menyebabkan Foo Keah dan seorang lelaki rakyat Thailand maut.

“Ketika keadaan di sepanjang 500 meter di jalan tersebut kelam-kabut, satu lagi letupan yang lebih kuat berlaku di persimpangan masuk jalan itu berhadapan medan selera sehingga menyebabkan Hong Yep dan cucunya meninggal dunia.

“Letupan terakhir berpunca daripada sebutir bom yang diletakkan dalam sebuah kereta di hadapan medan selera tersebut. Ia juga menyebabkan hotel berhampiran turut mengalami kerosakan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Hospital Sungai Golok di sini, hari ini.

Hong Yep meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Yala manakala Kai Sean yang mengalami kecederaan serius maut di tempat kejadian. Letupan itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 60 orang cedera di mana enam daripadanya parah.

Sementara itu, tinjauan Mingguan Malaysia di tempat kejadian mendapati, pihak berkuasa telah menutup jalan tersebut untuk kenderaan dan kerja-kerja membersihkan serta menyambung semula bekalan elektrik giat dijalankan.

Rusdi berkata, pihak berkuasa percaya letupan itu dilakukan kumpulan terlibat dengan dadah selain tidak menolak kemungkinan mereka juga adalah ahli kumpulan pemisah.

Tambahnya, siasatan juga mendapati bom yang digunakan dalam kejadian itu adalah jenis bom jangka dan bom kawalan yang dihalakan ke arah kenderaan terbabit. - Utusan

No comments:

Post a Comment