06 September 2011

Konvoi AU lepas tembakan


Komander Tentera Pengaman ikrar ambil tindakan terhadap anggota

KUALA LUMPUR: Kematian jurugambar BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor, 40, berpunca daripada tembakan dilepaskan tentera pengaman Kesatuan Negara Afrika (AU). AU dalam kenyataannya berkata, siasatan awal menunjukkan sebuah daripada konvoi kenderaan AU melepaskan tembakan yang menyebabkan kematian Noramfaizul dan mencederakan jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan dalam serangan di Mogadishu, Somalia, Jumaat lalu. Malah, media Somalia turut memetik kenyataan Komander Tentera Pengaman AU, Mejar Jeneral Fred Mugisha yang berjanji akan mengambil tindakan terhadap anggotanya yang melepaskan tembakan itu, tanpa menyatakan sama ada penambaknya sudah dikenal pasti.

Terdahulu, akhbar New York Times turut memetik kenyataan saksi di tempat kejadian yang dikenali sebagai Halima sebagai berkata, beliau melihat tentera pengaman AU melepaskan tembakan ke arah kereta yang membawa wartawan Malaysia di Mogadishu.

Sementara itu, Presiden Kelab Putra 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata beliau sudah menerima laporan awal mengenai kejadian itu dan akan menyerahkannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sebelum ini pegawai tentera Somalia menyatakan mereka mengesyaki tembakan dilepaskan pasukan tentera pengaman di situ, tetapi kita tidak dapat mengesahkannya ketika itu kerana belum menerima laporan penuh siasatan.
“Hari ini (semalam) saya menerima laporan awal siasatan mengenai insiden di Mogadishu dan akan menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang ditemui selepas ditemu bual dalam segmen ‘Kopi O’ TV1 di Angkasapuri, semalam.

Turut serta dalam program itu yang disiarkan secara langsung ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, beliau juga sudah memaklumkan kepada keluarga Noramfaizul bahawa mereka layak menerima pampasan perlindungan insurans sebanyak RM200,000 dan pihak insurans sedang menguruskan pembayarannya.

“Saya sudah berbincang dengan pihak insurans mengenai perkara itu dan memaklumkannya kepada bapa Allahyarham, Mohd Nor Mat Yassin mengenai wang pampasan ini. Semua 55 anggota misi bantuan dilindungi insurans sepanjang tahun bermula dari tarikh sebelum berlepas pada 28 Ogos lalu,” katanya.

Mengulas cemuhan dan tuduhan liar terhadapnya serta misi bantuan kemanusiaan yang dianjurkan Kelab Putra 1Malaysia, Azeez berkata: “Saya sudah melakukan 15 misi kemanusiaan ke seluruh dunia dengan segala persiapan mengenai aspek keselamatan sudah dipenuhi. Kepada yang mencemuh, saya ingin bertanya apa yang mereka sudah lakukan.

“Kejadian ini tidak akan mematikan semangat kami untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang ke seluruh dunia memberikan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan. Malah, kami akan kembali ke Somalia untuk meneruskan misi ini, selain menamakan sebuah khemah pelarian di sana sempena nama Noramfaizul,” katanya. - Bharian

No comments:

Post a Comment