09 September 2011

DiGi sasar tarik 20 peratus pelanggan baru

KUALA TERENGGANU 8 Sept. - DiGi Telecommunication Sdn. Bhd. (DiGi) Wilayah Timur dijangka dapat menarik lebih 20 peratus pelanggan baru melalui jenama Happy menjelang akhir tahun ini.

Ketua Wilayah Timur DiGi, Jennifer Neal berkata, matlamat itu akan dapat dicapai berdasarkan rekod tahun sebelumnya yang menyaksikan bilangan pelanggan baru meningkat melalui pelbagai pakej dan promosi yang ditawarkan.

Katanya, DiGi yang merupakan rangkaian mudah alih yang ketiga tertinggi diperkenalkan di wilayah Timur bermula di Pahang 15 tahun lalu, disusuli di Terengganu serta Kelantan sejak 1996 kini mempunyai 600,000 pelanggan.

Menurut beliau, DiGi sentiasa berusaha meningkatkan lagi perkhidmatan dan kemudahan dengan menubuhkan lapan pusat Pusat Jalur Lebar (PJL) Komuniti yang melibatkan empat di Terengganu (Kuala Berang dan Bukit Diman di Hulu Terengganu dan Binjai serta Pasir Gajah di Kemaman) dan masing-masing dua di Kelantan dan Pahang.

''Melalui PJL ini dapat mewujudkan lebih banyak faedah kepada masyarakat terutama di kawasan luar bandar mendapatkan maklumat dari Internet,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan tujuh unit komputer riba kepada tujuh Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di sekitar kawasan pusat jalur lebar di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah 1, Jabatan Kebajikan Masyarkat negeri, Che Mah Darus.

Tujuh PDK yang menerima sumbangan itu ialah PDK Felda Bukit Bading, Tengkawang, Kuala Berang, Kampung Machang di Hulu Terengganu dan PDK Seberang Tayor, Kompleks Penyayang Kemaman dan Kampung Baru Kemasek di Kemaman.

Penyerahan komputer riba dengan modem Internet DiGi merupakan usaha DiGi untuk memperluaskan penggunaan Internet sebagai sebahagian daripada teras kehidupan seharian.

Dalam majlis berasingan, DiGi turut menyumbangkan 14 unit komputer riba kepada Perbadanan Perpustakaan Negeri dan lima unit kepada perpustakaan desa.

Jennifer berkata, DiGi juga akan meneruskan aktiviti bersama anak yatim dan orang kurang upaya setelah ia diperkenalkan pada Ramadan tahun ini melalui penyumbangan komputer.

''Pada program itu, 18 buah rumah anak yatim di Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Selangor dan Johor menerima 80 unit komputer yang bernilai RM150,000 yang dapat memberi faedah kepada kira-kira 800 penghuni,'' ujar beliau. - Utusan

No comments:

Post a Comment