21 September 2011

Bukit Kepong: Mat Sabu didakwa, minta dibicarakan

BUTTERWORTH, 21 Sept — Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pagi ini berhubung ceramahnya mengenai Mat Indera dan tragedi Bukit Kepong bulan lalu.

Mohamad mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dan minta dia dibicarakan.

Beliau dibebaskan dengan diikat jamin RM15,000.

Mohamad (gambar) dikenakan tuduhan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.

Laporan Harakahdaily menyebut, pihak pendakwa meminta Mohamad dibebaskan dengan jaminan RM50,000 tetapi selepas dibantah peguamnya mahkamah membebaskan Mohamad dengan jaminan RM15,000 sehingga perbicaraan.

Jika bersalah Mohamad menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Malam tadi, beliau dibawa ke ibu pejabat kontinjen Pulau Pinang sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakub berkata, pemimpin PAS itu didakwa berikutan terdapat lebih 1,000 laporan terhadapnya berhubung ucapan kontroversi pada satu ceramah di Tasek Gelugor, 19 Ogos lalu.

“Laporan dibuat oleh waris polis yang kecewa dengan kenyataan Mat Sabu,” katanya pada sidang media di George Town malam tadi.

“Saya gesa semua pihak supaya bertenang agar proses undang-undang dapat dijalankan,” katanya.

Ceramah Mohamad telah mencetuskan kontroversi apabila Mat Indera yang dianggap ramai sebagai komunis, dijulang menjadi hero sebenar dan bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang terbunuh dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 1950.

Mohamad turut mendakwa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana menganggap mereka sebagai pegawai British.

Laporan Berita Harian Online pula menyebut lebih 100 penyokong Mohamad berkumpul di pekarangan mahkamah sejak pukul 8 pagi tadi bagi memberi sokongan.

Turut kelihatan Timbalan Pesuruhjaya PAS I negeri Khalid Man dan Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow.

Dalam pada itu, Bernama Online melaporkan, Mohamad didakwa memfitnah anggota-anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis pada 23 Februari 1950, dengan mengetahui bahawa tohmahan dibuat akan merosakkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka.

Bagi pertuduhan alternatif, Mohamad didakwa telah memfitnah anggota-anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Konstabel Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis itu dengan membuat tohmahan dalam ucapan kepada orang ramai pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya.

Pertuduhan dibuat selepas aduan daripada tiga ahli keluarga anggota polis yang terkorban dalam serangan itu iaitu Jamilah Abu Bakar, Azlas Jaafar dan Nazir Yusoff.

Mahkamah menetapkan 27 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula dan 5 hingga 9 Disember sebagai tarikh perbicaraan kes. - TMI


* Pakatan rakyat selepas ini boleh membuat kempen 100,000 laporan polis terhadap mana-mana daripada BN dan lihat sejauh mana polis bertindak ke atas laporan tersebut...

No comments:

Post a Comment