SAYA tertarik dengan penerangan tentang isu kediaman yang disiarkan baru-baru ini. Bagaimanapun, apa yang diterangkan lebih menjurus kepada perancangan pembelian kediaman baharu. Saya baru sahaja selepas menamatkan pengajian setahun lalu dan berhajat membeli rumah. Oleh sebab harganya tinggi, saya perlu menunggu lima tahun lagi. Tetapi saya difahamkan oleh rakan-rakan supaya mencari rumah ‘second hand’ atau rumah lelong yang harganya lebih rendah, apakah ia benar dan kelebihan membelinya?
NOR AIN KAMARUDDIN, Kelang
RUMAH ‘second hand’ tidak semestinya lebih murah untuk dibeli. Umumnya, langkah bijak yang boleh diambil adalah membuat perbandingan harga hartanah di kawasan tersebut dan membuat pemeriksaan sebelum membeli apa-apa hartanah untuk mengurangkan ketidakpastian yang mungkin wujud ketika membeli hartanah lelong.
Di OCBC Al-Amin, tidak ada banyak bezanya sama ada membeli hartanah lelong atau hartanah sedang dibina kerana kadar yang dikenakan adalah sama.
Kelebihan hartanah yang dilelong adalah seperti berikut:
Peluang membeli sebuah aset pada harga lebih murah, biasanya di bawah harga pasaran.
Sesuai jika anda mahu membeli hartanah dengan pantas.
Keupayaan memilih hartanah pilihan anda dari segi lokasi, saiz dan harga.
Bagaimanapun, masih ada beberapa kelemahan seperti yang disenaraikan di bawah:
Prosesnya bukan mudah kerana ada beberapa faktor yang perlu anda pertimbangkan untuk mengurangkan masalah dan risiko yang dikaitkan dengan pembelian hartanah lelong.
Anda mungkin tiada masa yang secukupnya untuk memeriksa hartanah, dan ini boleh menimbulkan masalah serius berkaitan kerosakan yang mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Hartanah perlu dibeli “dalam keadaan sedia ada” tanpa sebarang jaminan atau hak tuntutan jika anda mengalami sebarang masalah pada masa depan berkaitan dengan hartanah tersebut.
Anda bertanggungjawab sebagai pemilik rumah untuk menyelesaikan cukai tertunggak ke atas hartanah di lelongan pengambilalihan.
Hartanah mungkin rosak akibat digodam atau kesan cuaca jika telah ditinggalkan kosong sejak diambil alih.
Wang cengkeram atau bayaran penuh perlu dibuat untuk membeli hartanah di lelongan hartanah.
Selepas menilai segala faktor, buat pertimbangan teliti sebelum anda merebut ‘peluang’ yang pada mulanya nampak hebat. - Utusan
No comments:
Post a Comment