09 September 2011

Anggota Polis Patah Kaki Ketika Kejar Suspek Kes Ragut

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis patah kaki dan mengalami komplikasi pendarahan dalaman akibat terjatuh daripada motosikal yang ditendang dua suspek kes ragut ketika mengejar mereka, di sini, Khamis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata dalam kejadian 1 petang itu, Konstabel Mohd Hafiz Hashim, 23, dan seorang lagi anggota polis menunggang motosikal berasingan, meronda di sekitar Jalan P. Ramlee.

Mereka kemudian melihat dua lelaki menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri apabila ternampak mereka, menyebabkan dua anggota terbabit mengejar, katanya kepada pemberita selepas melawat Mohd hafiz di Hospital Kuala Lumpur, di sini, Jumaat.

Beliau berkata suspek yang berusia lingkungan 20-an itu bertindak menendang motosikal yang ditunggang Mohd Hafiz menyebabkan motosikal beliau dan juga suspek terjatuh.

Akibat kejadian itu, seorang daripada suspek mengalami kecederaan di badan manakala rakannya melarikan diri.

“Dengan kerjasama daripada seorang pemandu teksi yang kebetulan berada di kawasan itu, suspek yang cedera berjaya ditahan,” katanya.

Mohmad berkata suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau, kini menerima rawatan di hospital yang sama dan akan ditahan reman.

Polis juga kata beliau telah mengenal pasti identiti seorang lagi suspek dan sedang menjejakinya.

Mengulas perkembangan berkaitan, Mohmad memuji tindakan pemandu teksi tersebut yang membantu polis membanteras jenayah dan berharap lebih ramai orang awam memberi kerjasama serupa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment